Ahad, 4 Oktober 2009

PUTERA RING



Pada suatu ketika dahulu, terdapat seorang Raja dan Permaisuri yang mempunyai seorang puteri bernama Ingoborg dan seorang putera bernama Ring.

Putera Ring tidak mempunyai apa-apa kehandalan atau sebarang minat dalam pengembaraan. Pada suatu hari ketika berumur dua belas tahun, Putera Ring berkuda ke hutan bersama pengawal-pengawal untuk bersiar-siar. Mereka masuk agak jauh hingga terserempak dengan seekor rusa yang memakai cincin emas pada tanduknya.

Apabila timbul perasaan ingin menangkap rusa itu, Putera Ring mengejar haiwan tersebut diikuti semua pengawal hingga kuda-kuda tunggangan mereka keletihan. Tiba-tiba persekitaran menjadi gelap dan rusa itu hilang daripada pandangan mereka.

Putera Ring dan pengawal-pengawalnya memutuskan untuk bergerak secara berkumpulan dalam usaha mencari jalan pulang, malangnya mereka mengikut jalan yang berlainan. Putera Ring pula tersesat keseorangan dan merayau-rayau di dalam hutan hingga tiba di sebuah kawasan lapang di tengah-tengah hutan itu yang terdapat seorang wanita sedang duduk di atas kerusi di sisi tong besar.

Putera Ring menyapa wanita itu dengan sopan dan wanita itu menyambut kedatangannya dengan mesra. Putera Ring melihat ke dalam tong besar tersebut dan mendapati sebentuk cincin emas yang sangat cantik di dasar tong itu. Dia memerhati cincin itu dengan penuh minat dan wanita itu berkata, jika Putera Ring sanggup berusaha, cincin itu akan menjadi miliknya.

Putera Ring mengucapkan terima kasih kepada wanita itu lalu membongkok ke dalam tong untuk mencapai cincin tersebut. Ketika Putera Ring membongkok, wanita itu menolaknya ke dalam tong lalu berkata, “Sekarang, kamu akan tinggal di dalam tong selama-lamanya.” Wanita itu pun menutup tong tersebut dan mencampak tong itu ke dalam laut.

Putera Ring dapat merasakan tong tersebut bergerak mengikut alunan ombak. Dia tidak dapat menjangka berapa hari sudah berlalu sehingga pada suatu hari tong itu terhentak pada batu. Dia merasakan bahawa kini kedudukannya berhampiran pantai lalu bertindak menendang dasar tong sehingga tercabut.

Akhirnya Putera Ring berjaya keluar lalu berenang ke arah pantai yang merupakan tebing-tebing tinggi. Dia berjaya mendaki tebing tinggi tersebut hingga ke puncak lalu melihat ke sekeliling, rupa-rupanya dia berada di sebuah pulau yang dilitupi hutan dan pokok-pokok epal.

Setelah beberapa hari berlalu, kedengaran bunyi bising yang menyebabkan Putera Ring lari menyembunyikan diri di antara pokok-pokok. Kemudian muncul seorang gergasi sedang mengheret sebuah kereta luncur yang dipenuhi kayu menuju ke arahnya. Putera Ring membantu dan gergasi tersebut berdiri melihatnya beberapa ketika lalu mengambilnya untuk dibawa pulang ke rumah.

Gergasi itu berkata kepada isterinya, “Saya terjumpa budak ini di dalam hutan. Dia tentu boleh membantu kamu di rumah.”

Isteri gergasi itu berasa sangat gembira dan menjaga budak itu dengan baik sekali. Putera Ring berasa gembira tinggal dengan pasangan suami isteri itu malahan dia sanggup melakukan segala suruhan.

Pada suatu hari, gergasi itu menunjuk kepada Putera Ring semua bilik kecuali bilik tamu. Sikap gergasi itu menyebabkan Putera Ring ingin tahu apa yang terdapat di dalam bilik tersebut. Pada suatu hari apabila gergasi itu keluar ke hutan, Putera Ring cuba memasuki bilik misteri itu.

Ketika pintu bilik terbuka, seekor anjing berlari ke arah Putera Ring sambil berkata, “Pilihlah saya, Putera Ring.” Dengan perasaan takut melihat kejadian itu, Putera Ring terus menutup pintu bilik itu.

Tidak berapa lama kemudian, gergasi itu berkata dia akan membawa Putera Ring ke tanah besar kerana menyedari dirinya akan mati tidak lama lagi.

Gergasi itu berkata lagi, “Untuk membalas jasa kamu yang cemerlang, pilihlah mana-mana hartaku.”

Putera Ring menjawab, “Khidmat saya sebenarnya terlalu kecil tetapi jika Tuan berhajat juga, saya ingin memiliki apa-apa yang terdapat di dalam bilik tamu itu.”

Gergasi itu terperanjat dengan permintaan Ring lalu berkata, “Kamu sebenarnya telah memilih ‘tangan kanan’ isteri tua saya tetapi saya tetap berpegang kepada kata-kata saya.” Dia pergi ke bilik itu dan melepaskan anjing yang terkurung. Anjing itu berlari dengan penuh kegembiraan.

Kemudian gergasi, Putera Ring dan anjing itu menaiki sebuah bot batu yang cukup untuk memuatkan mereka. Setiba di daratan, gergasi itu mengucapkan selamat tinggal kepada Putera Ring dan berkata bahawa putera itu boleh mengambil semua hartanya di pulau itu selepas dua minggu kerana pada waktu itu dia sudah mati bersama isterinya.

Putera Ring mengucapkan terima kasih dan gergasi itu pun pulang ke pulau. Beberapa ketika, Putera Ring berjalan dengan senyap dan berasa takut untuk bercakap dengan anjing yang kemudiannya berkata, “Tidakkan Tuan mahu mengetahui nama saya?”

“Siapakah nama kamu?”

“Tuan boleh panggil saya Snati. Kita akan tiba di sebuah istana, Tuan mesti merayu kepada Raja supaya mengizinkan kita menumpang tinggal di sebuah bilik kecil sepanjang musim sejuk ini.”

Raja bersetuju dengan permintaan Putera Ring dan selepas beberapa hari, baginda mula memandang tinggi terhadap Putera Ring. Walau bagaimanapun, Raja mempunyai seorang penasihat bernama Red yang sangat dengki terhadap Putera Ring. Red memaklumkan kepada Raja bahawa orang itu tiada keistimewaannya berbanding orang lain. Dia mencadangkan agar Red dan Putera Ring dihantar ke hutan untuk memotong kayu bagi memastikan orang yang lebih banyak melakukan kerja.

Snati terdengar perbualan tersebut lalu memberitahu tuannya tentangnya. Anjing itu menasihati tuannya supaya meminta dua bilah kapak sebagai persediaan jika salah sebilah kapak patah.

Pada keesokan paginya, Raja memerintahkan Red dan Putera Ring pergi ke hutan untuk memotong kayu. Putera Ring membawa dua bilah kapak dan setibanya dihutan, Snati mula membantunya menebang pokok dengan sebilah kapak lagi.
Menjelang senja, Red dan Putera Ring menghadap Raja. Baginda mendapati kayu yang dikumpul oleh Putera Ring sekali ganda lebih banyak daripada kayu Red. Kini, Putera Ring lebih dipandang tinggi oleh Raja.

Red yang semakin tidak berpuas hati berkata kepada Raja, jika Putera Ring benar-banar berkemampuan, dia patut dihantar untuk membunuh lembu-lembu liar dihutan. Dia dikehendaki menyiat kulit lembu tersebut pada hari yang sama dan membawa pulang tanduk dan belulang lembu itu sebelum menjelang senja.

“Tetapi tiada seorang pun yang berani berhadapan dengan lembu-lembu liar tersebut,” titah Raja.

Red berkata, “Alangkah menarik hati jika kita dapat menyaksikan keberaniannya. Jika dia berjaya dalam ujian ini, Tuanku memang patut memberi penghormatan kepadanya.”

Akhirnya, Raja mengalah kepada kehendak Red. Baginda memerintahkan Putera Ring berhadapan dengan lembu-lembu liar,sedangkan pada waktu itu Putera Ring langsung tidak tahu menahu tentang bahaya yang bakal dihadapinya.

Apabila terserempak dengan Putera Ring dan anjingnya, lembu-lembu liar itu; seekor besar dan seekor lagi kecil, menerpa ke arah mereka. Snati terus berkata kepada Putera Ring, “Tuan cuba berhadapan dengan lembu kecil itu dan saya akan cuba berhadapan dengan lembu besar.”

Snati dengan pantas melompat ke atas belakang lembu besar tersebut lalu bergelut dan berjaya membunuh lembu itu. Selepas itu ia bergegas menolong Putera Ring yang hamper-hampir tewas. Setelah kedua-dua ekor lembu itu mati, mereka pula sibuk melapah lembu-lembu itu. Ketika Snati selesai melapah, Putera Ring hanya separuh siap.

Snati memikul tanduk dan belulang lembu-lembu itu lalu pulang ke istana. Setibanya di hadapan Raja, Putera Ring menyembahkan tanduk dan belulang itu kepada baginda yang terpesona dengan kegagahan Putera Ring.

Kini Putera Ring dianggap wira pada pandangan Raja, yang menyebabkan perasaan dengki Red tidak dapat dibendung lagi dan dia bertekad untuk menghapuskan Putera Ring. Pada suatu hari, penasihat Raja itu mengemukakan satu cadangan kepada Raja.

“Tuanku!” sembah Red, “”Ingatkah Tuanku kepaada mantel emas, papan catur emas dan sejongkong emas yang telah dicuri setahun lalu? Jika Putera Ring benar-benar gagah perkasa, dia pasti dapat menemui dan mengembalikan barang-barang berharga itu sebelum hari Krismas. Sebagai balasan, Tuanku boleh tawarkan Puteri sebagai isteri.”

Raja mengerutkan muka lalu bertitah, “Tidak berapa wajar jika dicadangkan sedemikian kepada Putera Ring kerana kita sendiri tidak tahu di mana barangan berharga itu.”

Walau bagaimanapun, Red berulangkali mengemukakan cadangan tersebut hingga akhirnya ia diterima oleh Raja. Kira-kira sebulan sebelum hari Krismas, Raja memberitahu Putera Ring bahawa baginda memerlukan pertolongan besar daripadanya.

“Apakah yang Tuanku inginkan?” Tanya Putera Ring.

“Mantel emas, papan catur emas dan sejongkong emas yang semuanya milik beta telah dicuri setahun lalu. Jika kamu dapat mengembalikan barangan tersebut sebelum hari Krismas, kamu boleh berkahwin dengan puteri beta.”

“Di mana patik harus mencari barang-barang itu?”

“Beta tidak tahu. Kamu sendiri terpaksa mencari barang-barang itu.”

Putera Ring sedar dia menghadapi masalah yang besar tetapi dia tetap berasa gembira kerana ditawarkan mengahwini Puteri jika berjaya menyelesaikan kerja-kerja tersebut. Dia bersetuju dan mula membuat persediaan untuk mengembara.

Ketika memulakan pencarian, Snati berkata kepada Putera Ring, “Tuan mesti pergi ke semua rumah jiran dan kumpulkan garam sebanyak mungkin.” Putera Ring menurut cadangan itu sehingga tidak mampu lagi memikul karung garam tersebut. Snati menyuruh tuannya memikul karung garam itu dan mereka berdua mula berjalan hingga sampai ke kaki sebuah bukit yang curam.

“Kita perlu daki bukit itu,” kata Snati. “Pegang ekor saya.” Mereka berdua mendaki bukit dan apabila sampai ke puncak, Putera Ring terus rebah lalu pengsan.

Apabila Putera Ring sedar, mereka meneruskan perjalanan melalui sebuah dataran hingga sampai ke sebuah gua. Hari itu menjelang tibanya hari Krismas.

Putera Ring dan Snati berjalan-jalan di sekeliling gua tersebut hingga terjumpa sebuah tingkap, yang membolehkan mereka menjenguk ke dalam gua tersebut. Mereka ternampak empat ekor hantu sedang tidur di tepi unggun api yang memanaskan sebelanga besar bubur.

Snati berkata kepada Putera Ring, “Tuan mesti tuangkan semua garam tadi ke dalam belanga tersebut.”

Sejurus selepas Putera Ring selesai melakukan perbuatan itu, keempat-empat ekor hantu itu terjaga. Seekor hantu tua merasa bubur tersebut dan terkejut, “Apa yang dah jadi, bubur yang kita ambil semalam dari empat buah negeri telah bertukar menjadi garam.”

Sebaliknya hantu-hantu lain merasa bubur tersebut sedap. Apabila mereka menghabiskan bubur itu, hantu tua itu berasa dahaga lalu menyuruh anak gadisnya mengambil sedikit air dari sungai berdekatan untuk diminum.

Anak gadis hantu itu berkata, “Saya tidak mahu pergi melainkan jika emak meminjamkan saya sejongkong emas.”

“Ambillah wahai si bodoh! Dan pulang cepat dengan air yang aku minta.”

Gadis itu berlari dengan emas yang berkilauan hingga cahayanya menyinari seluruh dataran. Ketika dia membongkok untuk meminum air, Snati dan Putera Ring yang menanti di situ menolak gadis itu ke sungai lalu merampas jongkong emas pada tangannya.

Hantu tua itu hilang sabar menunggu air lalu menyuruh anak lelakinya pula mengambil air di tempat yang sama.

“Saya tidak mahu,” kata anak lelaki itu, “melainkan jika ibu memberikan saya mantel emas itu.”

“Ambillah mantel itu dan pergi ambil air untuk emak!” Anak lelaki itu memakai mantel emas tersebut dan cahayanya amat terang hingga menerangi lorong yang dilaluinya menuju ke sungai. Nasibnya sama seperti kakaknya, ketika dia tunduk untuk minum, Putera Ring dan Snati merampas mantel emas tersebut dan menolaknya ke sungai.

Hantu tua itu semakin hilang sabar untuk menahan dahaga lalu menyuruh suaminya pergi mengambil air sambil berkata, “Kedua-dua orang anak yang bodoh itu mesti bermain-main di luar!”.

“Saya tak mahu pergi melainkan jika kamu pinjamkan saya papan catur emas itu”, kata suaminya.

“Ambillah! Kamu pun lebih kurang sama dengan anak-anak kita!”
Hantu lelaki itu pergi dengan membawa papan catur emas. Ketika dia tunduk untuk menghirup air, Putera Ring dan Snati merampas papan catur emas pada tangannya dan menolaknya ke sungai.

Selepas itu, mereka berdua menjenguk kembali melalui tingkap tersebut dan mendapati hantu tua itu bergerak ke arah pintu.

Snati berkata, “Kita mesti masuk ke dalam gua itu dan menghalangnya daripada keluar. Jika dia melangkah keluar, peluang kita akan hancur. Salah seorang daripada kita mesti cuba mencurahkan bubur yang sedang menggelegak itu ke atasnya dan seorang lagi memukulnya dengan besi yang panas membara.”

Apabila mereka bertentang muka, hantu tua itu berkata, “Kamu sudah datang Putera Ring, kamu mesti telah melakukan sesuatu kepada anak-anak dan suami aku.”

Ketika hantu itu cuba menyerang Putera Ring, Snati terus menyambar besi panas dari unggun api lalu memukulnya, manakala Putera Ring bertindak mencurahkan bubur panas yang mendidih pada badannya. Dengan itu, mereka berjaya membunuh hantu tua itu dan membakarnya hingga menjadi abu.

Putera Ring dan Snati meninjau sekitar gua tersebut dan mendapati banyak emas dan harta karun lain yang tersimpan. Mereka mengangkat barangan berharga tersebut ke tebing dan membawa pulang ke istana tiga barangan emas kepunyaan Raja sahaja. Mereka tiba pada waktu larut malam menjelang hari Krismas.

Raja berasa amat gembira kerana harta baginda telah dijumpai dan berasa takjub dengan kebijaksanaan Putera Ring. Putera Ring diisytiharkan sebagai bakal suami kepada Puteri dan sebuah pesta diadakan sepanjang musim Krismas.

Apabila selesai makan malam, Putera Ring memohon izin untuk berehat dan tidur dikamarnya. Snati diminta tidur dikatil Putera Ring manakala Putera Ring tidur ditempat Snati. Putera Ring bertindak begitu kerana mengenangkan sumbangan besar Snati dalam menyelesaikan setiap tugasan yang diberi oleh Raja. Selepas beberapa ketika, Snati datang kepada Putera Ring lalu memberitahunya supaya tidur dikatilnya tetapi tidak mengusik apa-apa yang ada di atas katil.

Tidak berapa lama kemudian, Red kembali ke balai istana dalam keadaan tangan kudung. Dia menyalahkan Putera Ring kerana menyebabkan tangannya kudung. Raja yang murka dan terperanjat melihat kekejaman itu terus memerintahkan Putera Ring menghadap dan memberi penjelasan terhadap kejadian yang berlaku, jika tidak dia akan dihukum gantung. Sebelum itu, Snati memaklumkan kepada Putera Ring kejadian yang sebenar. Putera Ring merayu kepada Raja supaya mengikutnya ke kamar. Di atas katilnya terdapat sepotong tangan yang memegang pedang.

Putera Ring berkata, “Tangan ini hampir-hampir membelah tubuh patik jika patik tidak bertindak mempertahankan diri.”

Akhirnya Red dihukum gantung. Putera Ring pula dikahwinkan dengan Puteri. Pada malam perkahwinannya, Snati diizinkan tidur dikakinya. Pada tengah malam, Putera Ring terdengar bunyi yang aneh berdekatannya lalu menyalakan mancis untuk melihat kejadian yang berlaku. Dia mendapati sehelai kulit anjing yang buruk di lantai dan seorang pemuda kacak di atas katil. Putera Ring teris membakar kulit anjing tersebut dan mengejutkan pemuda yang kacak itu lalu bartanyakan namanya.

Pemuda itu menjawab, “Nama saya juga adalah Ring, seorang putera. Ketika saya masih bayi, ibu saya telah meninggal dan bapa saya mengahwini seorang ahli sihir. Ibu tiri saya menukarkan saya kepada seekor anjing dan mengatakan bahawa saya tidak akan terlepas daripada sumpahan tersebut sehinggalah saya diizinkan tidur di kaki seorang putera yang sama namanya dengan saya pada malam pertama perkahwinannya. Apabila ahli sihir itu mendapati Tuan memiliki nama yang serupa, dia cuba menghapuskan Tuan supaya saya tidak terlepas daripada sumpahannya. Dialah yang menyamar menjadi seekor rusa yang Tuan kejar, dia jugalah seorang wanita yang duduk disebelah tong dan dia jugalah hantu tua yang telah kita bunuh tempoh hari di dalam gua.”

Selepas berakhirnya pesta, kedua-dua orang putera yang sama nama itu diiringi oleh sekumpulan orang lelaku ke lereng bukit untuk mengambil harta yang dikeluarkan dari gua. Kemudian mereka kembali ke pulau itu untuk membawa pulang barangan berharga yang ditinggalkan oleh pasangan gergasi yang telah mati.

Putera Ring mengahwinkan kakaknya Ingibord dengan putera yang senama dengannya. Putera Ring menyerahkan negara kepunyaan ayahandanya depada adik iparnya itu, manakala dirinya sendiri menetap di negara mertuanya dan memerintah negara itu setelah kematian mertuanya.

Pengajaran :

. Usaha tangga kejayaan.

2. Iri hati dan dendam membawa padah.

3. Buat baik dibalas baik.


Adaptasi daripada Cerita Dongeng dari Eropah. 2006. Penerbit Awana Sdn Bhd.

SI KECIL KETIGA BELAS YANG CERDIK


Terdapat seorang janda miskin yang mempunyai tiga belas orang anak lelaki. Apabila anak-anaknya sudah boleh berdikari, dia memanggil mereka.

“Anak-anakku,” kata janda itu, “Ibu sangat miskin untuk memenuhi semua keperluan kamu. Kamu sudah dewasa dan carilah haluan hidup masing-masing di dunia ini.”

Budak-budak itu faham akan keadaan lalu mengucapkan selamat tinggal kepada ibu mereka untuk pergi mencuba nasib.

Setelah beberapa lama, anak-anak itu tiba di sebuah istana lalu meminta derma. Raja bertitah, “Kamu sangat ramai untuk ditanggung tetapi jika salah seorang daripada kamu berani mempersembahkan bulu milik serigala yang jahat di dalam hutan sana, kamu akan mendapat ganjaran lumayan.”

Adik-beradik itu belum pasti apa yang hendak dilakukan kecuali adik bongsu yang dipanggil ‘Si Kecil Ketiga Belas’ yang berbadan seperti orang kenit tetapi cerdik seperti rubah. Dia menyembah Raja lalu berkata, “Ampun Tuanku, patik akan persembahkan selimut bulu itu kepada Tuanku sekiranya Tuanku kurniakan patik sebatang jarum yang panjangnya enam kaki.”

Dengan membawa jarum itu, Si Kecil Ketiga Belas memulakan perjalanan ke pondok serigala. Apabila serigala keluar, dia menuruni corong dapur lalu bersembunyi di bawah katil serigala.

Pada malam itu apabila serigala tidur, Si Kecil Ketiga Belas merangkak keluar lalu mencucuk serigala dengan jarum yang panjang itu. Ketika serigala berkalih-kalih, dia merentap selimut bulu tersebut lalu berlari sepantas-pantasnya.

Serigala itu mempunyai seekor burung nuri bijak yang boleh memberitahu tentang waktu. Apabila bangun pada keesokan paginya, serigala bertanya, “Pukul berapa wahai burung nuri?”

Burung nuri menjawab, “Pukul lima, dan Si Kecil Ketiga Belas telah mencuri selimut bulu kamu.”

“Siapa Si Kecil Ketiga Belas?”

“Dia seorang budak lelaki berbadan seperti orang kenit tetapi cerdik seperti rubah.”

“Betulkah? Tunggu sehingga saya tangkapnya dan jadikannya makanan!”

Ketika itu Si Kecil Ketiga Belas sudah pulang ke istana dengan membawa selimut bulu itu kepada Raja yang berasa kagum melihatnya.

Raja bertitah, “Si Kecil Ketiga Belas, sekiranya kamu ingin mendapat upah yang lebih banyak, pergi semula ke pondok serigala dan persembahkan bantal serigala yang berjahit loceng-loceng kecil kepada beta.”

“Baiklah, Tuanku,” jawab Si Kecil Ketiga Belas, “Berikan patik sepotong serat rami yang kecil dan benang.”

Setelah permintaan itu dipenuhi, Si Kecil Ketiga Belas kembali semula ke pondok serigala, menuruni cerobong dapur lalu bersembunyi di bawah katil serigala.

Si Kecil Ketiga Belas menunggu sehingga serigala tidur sebelum merangkak keluar. Dia membungkus sebuah demi sebuah loceng di dalam serat rami dan mengikat dengan benang untuk menghalang loceng-loceng itu daripada bergoncang. Kemudian dia melarikan bantal itu.
Pada keesokan paginya, burung nuri itu memberitahu serigala bahawa Si Kecil Ketiga Belas mencuri bantalnya. Serigala berasa sangat marah.

Raja masih tidak berpuas hati lalu bertitah kepada Si Kecil Ketiga Belas, “Kamu adalah raja pencuri dan sudah tentu kamu akan menjadi seorang yang benar-benar kaya sekiranya memenuhi permintaan ketiga dan teakhir beta. Persembah serigala besar yang jahat itu kepada beta. Sekiranya gagal, kamu akan dihukum.”

Si Kecil Ketiga Belas masuk tidur dengan perasaan sedih kerana tidak dapat membayangkan bagaimana hendak melakukan perkara itu. Bagaimanapun apabila terjaga, dia menggosok kedua-dua belah tangannya dengan perasaan gembira lalu berteriak, “Ya! Aku tahu cara mendapatkan makhluk itu sekarang!”

Si Kecil Ketiga Belas mengeluarkan sebuah kereta sorong kecil dari bangsal dan memenuhkan kereta sorong itu dengan papan-papan dan paku-paku. Apabila tiba di pondok serigala, dia menjerit dengan kuat, “Si Kecil Ketiga Belas sudah meninggal! Siapakah yang boleh menolong saya membuat kerandanya?”

Serigala berteriak, “Saya! Sudah tentu saya akan tolong!” Ia keluar dengan segera lalu menolong menyiapkan keranda.

Apabila keranda siap, Si Kecil Ketiga Belas berkata kepada serigala, “Kamu mesti cuba masuk ke dalam keranda ini kerana saiz kamu hampir sama saiznya.”

Serigala tidak mengesyaki apa-apa berbaring di dalam keranda itu. Si Kecil Ketiga Belas menghentak segera lalu memaku penutup keranda itu.

Ketika serigala menghentam dinding keranda dan menjerit dari dalam keranda, Si Kecil Ketiga Belas berkata, “Sekarang saya akan beritahu kamu satu rahsia – Sayalah Si Kecil Ketiga Belas!”

Kemudian Si Kecil Ketiga Belas mengangkat keranda itu ke dalam kereta sorong lalu pulang ke istana. Di istana, orang ramai menyaksikan serigala besar yang keji itu melalui celah-celah papan keranda sebelum membuat unggun api untuk menghapuskan haiwan itu.

Si Kecil Ketiga Belas pun di anugerahi sebuah beg besar berisi syiling-syiling emas. Dia dan abang-abangnya pun kembali ke rumah menemui ibu mereka dan kini mereka tidak miskin lagi.

Pengajaran :

1. Berfikir sebelum bertindak.

2. Usaha tangga kejayaan.

3. Rezeki tidak datang menggolek.
Adaptasi daripada Cerita Dongeng dari Eropah. 2006. Penerbit Arowana Sdn Bhd.

Sabtu, 3 Oktober 2009

PUTERI BERADU

Pada zaman dahulu ada seorang permaisuri dan seorang raja. Raja dan permaisuri itu susah hati kerana tidak dikurniakan seorang putera pun. Raja itu sentiasa berdoa kepada Tuhan agar dikurniakan seorang anak. Tidak lama kemudian permaisuri pun hamil. Setelah cukup masanya, permaisuri pun melahirkan seorang puteri yang sangat cantik jelita. Mereka sangat gembira. Pada hari kelahiran puterinya itu raja telah mengadakan jamuan besar-besaran.

Semua orang-orang penting dijemput hadir. Di atas permintaan permaisuri, raja juga menjemput tujuh orang pari-pari yang menjadi pengasuh kepada puteri mereka. Pada hari jamuan itu diadakan semua tetamu memberikan hadiah kepada puteri. Selepas jamuan itu selesai, ketujuh orang pari-pari itu diiringi masuk ke istana.
Di sana mereka duduk mengelilingi meja. Di depan mereka diletakkan pinggan mangkuk emas, pisau, garfu serta batu-batu permata.
Pari-pari itu mula memberikan hadiah istimewa mereka untuk puteri yang masih kecil itu. “Dia akan menjadi puteri yang paling cantik di negeri ini,” kata pari-pari yang pertama. “Bila dia menyanyi suaranya merdu dan membuat semua orang merasa gembira.” Kata pari-pari yang lain.
“Kecantikannya seperti bidadari turun dari syurga,” kata pari-pari yang ketiga.
Pari-pari yang keempat menyatakan puteri itu pandai menari hingga tiada siapa pun dapat menandinginya. Pari-pari yang kelima menyatakan puteri itu sangat baik dan murah hati. Pari-pari yang keenam menyatakan puteri itu pandai memainkan semua jenis alat muzik.
Raja dan permaisuri merasa betapa beruntungnya puteri mereka kerana mendapat anugerah daripada pari-pari itu. Sebaik sahaja tiba pada pari-pari ke tujuh untuk memberikan hadiahnya kepada puteri itu, tiba-tiba masuklah seorang pari-pari yang sangat hodoh. Pari-pari tua dan hodoh itu tidak dijemput ke majlis itu. Raja fikir pari-pari tua itu telah mati.
Suaranya kuat dan menakutkan sesiapa yang mendengarnya. Dia sangat marah kerana raja tidak menjemputnya ke majlis itu. “Aku adalah pari-pari yang paling tua dalam kerajaan ini. Kenapa aku tidak dijemput ke majlis ini!”
Pari-pari tua itu memukul meja dengan kuat. Dia melihat pinggan emas untuk ketujuh-tujuh orang pari-pari itu. Dia mendapati tiada pinggan emas disediakan untuknya. Raja cuba memujuknya tapi dia tidak menghiraukan pujukan itu.
“Aku akan tinggalkan istana ini!” dia menolak tawaran raja itu. “Tapi sebelum aku pergi aku akan berikan hadiah untuk puterimu, hadiah yang sangat istimewa. Bila puteri itu dewasa, jarinya akan tertikam jarum penenun lalu mati,” kata pari-pari tua itu lalu meninggalkan istana.
Semua orang merasa terkejut dengan kata-kata pari-pari tua itu. Mereka hampir menitiskan airmata kerana sedih mengenangkan nasib malang puteri yang masih kecil itu.
Pari-pari yang ketujuh tiba-tiba bersuara. “Jangan tuanku bimbang, puteri sebenarnya tidak mati. Walaupun aku tidak mempunyai kuasa untuk menghapuskan sumpahan pari-pari tua itu, tapi aku akan cuba sedaya upaya membantu. Puteri akan dicucuk jarum dijarinya, tapi dia tidak mati. Sebaliknya akan tertidur selama seratus tahun. Bila genap seratus tahun, seorang putera raja dari negeri yang jauh akan datang dan jatuh cinta padanya. Dia akan bangun semula dan hidup bahagia.”
Pada keesokan paginya, raja telah memerintahkan semua alat penenun dan jarum di dalam istana dan di negeri itu dimusnahkan. Masa berlalu dengan cepat. Puteri itu kini telah berusia tujuh belas tahun. Sumpahan yang menakutkan itu semakin dilupakan oleh raja dan permaisuri. Puteri itu tidak pernah tahu akan sumpahan yang dikenakan kepadanya.
Puteri itu sangat cantik rupanya, periang dan sentiasa menyenangkan hati kedua orang tuanya.
Musim panas pun tiba. Pada suatu hari yang cerah raja dan permaisuri membawa puteri mereka berehat di sebuah istana yang terletak dihujung negeri.
“Kita akan berehat selama beberapa hari di istana itu,” kata raja memberitahu puterinya.
Puteri merasa sangat gembira. Istana cantik bentuknya dan mempunyai menara yang sangat tinggi. Lalu pada suatu hari puteri itu memanjat tangga untuk naik ke menara itu. Ketika dia sampai di puncak menara itu dia lihat sebuah bilik kecil. Dia terkejut kerana mendapati ada seorang wanita tua yang sedang menenun benang.
“Apa nenek buat di sini?” Tanya puteri itu dengan penuh sopan-santun. “Dan apakah alat ini? Tidak pernah saya melihatnya sebelum ini!” tanya puteri itu kehairanan melihat alat penenun itu.
“Ini adalah alat penenun cucu. Aku sedang menenun benang menjadi kain,” jawab wanita tua itu.
“Oh, begitu. Bolehkah saya mencuba menenun nenek?” Tanya puteri yang tertarik melihat alat penenun itu.
Puteri itu duduk di sebelah mesin penenun itu. Dia ingin mencuba menenun. Wanita tua itu lalu berkata, “Selama empat puluh tahun aku tinggal di istana ini dan orang sudah pun melupakan aku. Aku akan mengakhiri hidupku yang kesepian ini!”. Wanita tua itu memegang jarum lalu mencucuknya di jari puteri itu. Sebaik sahaja jarinya tercucuk jarum dia pun jatuh ke lantai.
Bila melihat puteri itu jatuh ke lantai, wanita tua itu menjerit memanggil pengawal istana. Pengawal istana segera datang.Raja dan permaisuri segera diberitahu . Mereka bergegas naik ke menara. Raja terkejut melihat puterinya yang terbaring diatas lantai itu. Kata-kata pari-pari tua tujuh belas tahun yang lalu terbayang di dalam kepalanya.
Dengan rasa yang sangat sedih raja memerintahkan dayang-dayangnya meletakkan puteri itu di atas katil yang diperbuat daripada emas. Katilnya dihias indah. Dia juga memerintahkan supaya puteri itu ditinggalkan sendirian. Permaisuri merayu supaya raja memanggil pari-pari ketujuh itu supaya membantu. Pari-pari yang baik hati itudatang ke istana. Bila melihat puteri itu terbaring sendirian di atas katilnya dia pun berfikir;”Adalah lebih baik jika aku tidurkan semua orang dan binatang di dalam istana ini selama seratus tahun. Bila puteri itu terjaga kembali dia tidak akan merasa keseorangan.”
Pari-pari itu mengguna tongkat saktinya lalu menidurkan semua orang dan binatang yang ada di dalam istana. Semuanya tertidur dengan nyenyak di tempat masing-masing. Semasa pari-pari itu meninggalkan istana, dia telah menyentuh tongkat saktinya pada pokok-pokok di sekeliling istana. Pokok-pokok itu pun tumbuh dan membesar dengan cepat lalu melindungi istana itu. Untuk masuk ke istana sangat sukar kerana pokok-pokok itu terlalu besar dan banyak.
Tahun terus beredar. Telah ramai anak muda yang cuba masuk ke dalam hutan dan pergi ke istana itu tapi tidak berjaya. Pada suatu hari seorang putera raja telah melintas di dalam hutan berdekatan dengan istana itu.
Bila dia melihat menara istana yang tinggi itu hatinya begitu tertarik sekali. Tidak jauh dari situ dia melihat seorang tukang kayu. Dari orang tua itu dia mendapat tahu cerita mengenai puteri yang tidur di dalamnya selama seratus tahun. “Tapi tiada sesiapa pun yang berjaya masuk ke istana itu,” kata lelaki tua itu lagi.
Setelah mendengar cerita itu putera raja merasa sangat tertarik hati hendak melihat puteri itu. Dia pun berusaha masuk ke dalam istana itu. Dia memotong dahan-dahan kayu menggunakan pedangnya. Putera raja itu memang gagah berani. Tidak lama kemudian dia pun tiba di pintu masuk istana. Dia lalu membuka pintu dan masuk ke dalam. Dia terkejut melihat semua orang di dalam istana itu tidur dengan nyenyak termasuk juga binatang-binatang.
Putera itu lalu memanjat tangga dan naik ke menara istana. Di sepanjang lorong dan jalan di dalam istana itu terdapat dayang dan pengawal yang sedang tidur. Ada yang tidur duduk, berdiri sambil memegang tombak dan berbagai lagi. Raja dan permaisuri tertidur di atas singgahsananya. Putera itu masuk ke dalam bilik puteri raja. Di atas katil yang diperbuat daripada emas dia melihat seorang puteri yang sangat cantik jelita sedang tidur dengan tenang. Wajah puteri itu berseri-seri kemerahan. Putera itu tidak pernah melihat puteri yang begitu cantik. Segera dia jatuh cinta pada puteri itu. Putera itu mendekatinya lalu mencium dahi puteri yang sedang tidur nyenyak itu.
Seketika kemudian puteri itu membuka kedua kelopak matanya.
Dia tersenyum memandang ke arah putera yang tampan itu. Dia menghulur tangannya ke arah putera itu lalu putera menyambutnya.
Kini dia telah dibebaskan dari sumpahan yang menimpanya. Seluruh isi istana terbangun. Suasana menjadi bising semula. Masing –masing sibuk membuat kerja yang telah ditinggalkan.
Puteri itu bangun lalu berdiri di depan putera raja itu.
“Kaulah putera yang telah menyelamatkanku dari sumpahan itu” katanya.
“Akhirnya aku menemui cinta sejati,”kata putera raja itu. Tidak berapa lama kemudian mereka pun berkahwin dan hidup aman bahagia hingga ke akhir hayat mereka.
Pengajaran
1. Sifat dendam jangan diamalkan.
2. Cinta sejati meleraikan sumpahan.
3. Ajal maut di tangan tuhan.
4. Redha dan bersabar dalam apa jua perkara.

CINDERELLA






Pada zaman dahulu ada seorang gadis yang sangat cantik. Ibunya telah meninggal dunia. Tidak berapa lama selepas kematian ibunya itu, ayahnya berkahwin dengan seorang janda yang mempunyai dua orang anak. Ibu tirinya itu sangat garang. Begitu juga dengan kedua orang kakak tirinya. Ayahnya pula selalu keluar bandar untuk berdagang.

Setiap hari dia diperintah oleh ibu tiri dan kedua orang kakak tirinya supaya membuat kerja rumah. Cinderella merasa amat sedih mengenangkan nasib yang melanda dirinya. Tiada tempat untuknya mengadu.
Wajahnya yang cantik itu menjadi comot kerana terlalu banyak membuat kerja dan tidak sempat hendak mengemaskan dirinya. Sedangkan kedua orang kakak tirinya itu hanya tahu bersolek, berpakaian cantik dan berjalan-jalan. Kerana pakaian dan wajahnya yang sentiasa comot itu, kedua orang kakaknya menggelar dia Cinderella.

Pada suatu hari putera raja telah membuat pengumuman akan mengadakan majlis tari-menari di istana. Semua gadis di dalam negeri itu dijemput menghadiri majlis tersebut. Kedua orang kakak tiri Cinderella yang hodoh itu mengambil keputusan hendak menyertai majlis itu.

Oleh kerana mereka tiada baju yang cantik, ibu tiri mereka mengarahkan Cinderella menjahit baju baru untuk kedua-dua orang kakak tirinya itu. Kedua-dua helai baju kakaknya itu dijahit oleh Cinderella. Setelah baju itu siap, kedua kakaknya saling bertekak mengatakan dia yang paling cantik.

“Aku akan memakai baju baldu berwarna merah dengan manik-manik yang cantik. Aku juga akan memakai rantai mutiara yang berwarna putih. Tentu aku kelihatan cantik.”

“Baju aku lebih cantik dari baju engkau!” kata kakak kirinya yang kedua. “Bajuku dipenuhi dengan labuci dan manik. Rantai leherku zamrud berwarna hijau. Sudah tentu aku lebih cantik daripada kau dan dapat menawan hati putera raja!”. “Kau tak akan dapat berkahwin dengan putera raja,” kata kakak tirinya itu sambil tertawa kepada Cinderella.

Cinderella merasa sedih mendengar kata-kata kakak tirinya itu. Kedua orang kakak tirinya itu tergesa-gesa pergi sambil terus sambil mentertawakan Cinderella. Setelah kedua orang kakak dan ibu tirinya pergi Cinderella duduk sendirian di dapur. Dia menangis mengenang nasibnya yang malang. Tiba-tiba dia terkejut kerana melihat sebutir cahaya berkelip-kelip tidak jauh darinya. Dari cahaya yang semakin membesar itu keluar seorang pari-pari yang cantik.

“Siapakah kau? Dari manakah kau datang?” tanya Cinderella sambil mengesat air matanya.

"Aku adalah pari-pari pengasuh kau,” jawab pari-pari yang cantik itu. “Sekarang beritahu aku adakah kau ingin pergi ke majlis putera raja di istana?”

“Ya, aku sangat ingin pergi ke majlis tu,” jawab Cinderella. Aku ingin bertemu dengan putera raja.”

“Aku boleh tunaikan permintaan kau itu,” jawab pari-pari itu lagi. Tapi ada syarat-syaratnya. Kau harus buat apa yang aku suruh.”

“Baiklah,” jawab Cinderella bersetuju.

“Mula-mula pergi ke kebun dan ambil buah labu yang palihg besar,” kata pari-pari itu. Cinderella terus berlari masuk ke dalam kebun lalu mengambil labu yang paling besar. Dia segera membawa labu itu masuk ke dalam taman. Pari-pari itu menyentuh labu itu dengan tongkat sakti. Tiba-tiba sesuatu yang ajaib pun berlaku. Labu itu menjadi kereta kuda yang cantik dan besar. Didalamnya terdapat kerusi baldu yang cantik, dihiasi langsir yang bewarna keemasan.

Cinderella memandang kereta kuda itu dengan rasa takjub dan kagum.

“Sekarang, bawakan aku enam ekor tikus,” kata pari-pari itu lagi. Cinderella segera masuk ke dapur. Dia mencari dibawah dapur dan dibelakang pintu. Tidak lama kemudian dia pun membawa enam ekor tikus di depan pari-pari itu. Tikus itu telah ditukarkan oleh pari-pari menjadi enam ekor kuda yang akan menarik kereta kuda itu.

“Kita telah memiliki kereta kuda untuk membawa kau ke istana. Sekarang aku perlukan seekor lagi tikus untuk menjadi pengiring dan pembantu kereta kuda.” Cinderella masuk ke dapur untuk mencari seekor lagi tikus. Setelah dia dapat menangkap tikus itu dengan segera diserahkannya tikus itu kepada pari-pari itu.

Kini kereta kuda itu telah lengkap dengan pemandunya yang berpakaian kemas dan cantik. “Sekarang kau boleh pergi ke majlis itu dan menemui putera raja!” kata pari-pari.

“Tapi bagaimana? Aku tidak boleh masuk ke dalam istana. Pakaianku buruk dan compang-camping. Tentu pengawal istana akan menghalau aku keluar.”

Pari-pari itu menyentuh Cinderella dengan tongkat saktinya. Serta-merta bajunya bertukar menjadi cantik. Rambut dan mukanya juga cantik berseri. “Dan inilah pemberian yang terakhir,” kata pari-pari itu lalu menyerahkan sepasang kasut emas yang cantik yang tidak pernah dibayangkan oleh Cinderella selama ini.

Cinderella merasa sangat gembira. Dia lalu memeluk pari-pari itu. Bila dia melangkah masuk ke dalam kereta kuda, pari-pari itu berpesan kepadanya. “Berjanjilah, kau akan pulang sebelum pukul dua belas tengah malam, anakku. Kerana di saat itu semuanya akan kembali kepada asalnya.”

Cinderella berjanji akan pulang sebelum dua belas tengah malam. Kereta itu dengan pantas berlari menuju ke istana. Apabila dia sampai didepan pintu istana, pengawal dengan hormat menyambut ketibaannya. Dia diiringi ke dewan istana. Di situ majlis tarian telah dimulakan. Semua orang yang berada di dewan itu memandang ke arahnya. Mereka sangat hairan melihat seorang gadis yang sangat cantik. Kedua orang kakak tirinya juga kehairanan.

Putera raja datang kepadanya lalu memimpin tangannya. Putera raja mengajaknya menari. Mereka menari sepanjang malam. Putera raja hanya mahu menari dengan Cinderella. Putera itu sangat tertarik dengan Cinderella. Tiada sesiapa di situ kenal padanya dan mereka semuanya merasa hairan dan kagum.

Raja dan permaisuri yang berada di atas singgahsana merasa kagum melihat kecantikan Cinderella. Cinderella pula hampir lupa pada dirinya dan janjinya pada pari-pari itu.

Cinderella terkejut bila menyedari setengah jam lagi menunjukkan pukul dua belas tengah malam. Dia mengucapkan selamat tinggal kepada putera raja dan meninggalkan istana. Sebaik sahaja dia sampai di rumah jam telah menunjukkan pukul dua belas tengah malam.

Setelah berehat dari kepenatan Cinderella mendapati kedua kakak tirinya pun pulang. Mereka asyik bercerita mengenai puteri yang sangat cantik yang tidak dikenali itu. “Putera raja telah jatuh hati kepadanya,” kata kakak tirinya yang tua. “Putera raja sanggup berbuat apa sahaja untuk mengetahui namanya dan di mana dia tinggal.”

Cinderella tersenyum mendengar kata-kata kedua orang kakak tirinya yang hodoh itu. “Adakah dia benar-benar kelihatan cantik?” tanya Cinderella. “Betapa beruntungnya kakak dapat melihat puteri itu.”

Cinderella tidak berkecil hati kerana dia akan pergi menemui putera itu pada malam esoknya. Pada keesokan harinya kedua orang kakak tirinya sibuk bersiap-siap hendak pergi ke istana. Pari-pari pengasuh Cinderella sampai sebaik sahaja kedua orang kakak tirinya itu pergi ke istana. Dia menggunakan tongkat saktinya lalu menukarkan pakaian Cinderella lebih cantik dari malam pertama.

Putera raja ternyata telah jatuh cinta pada Cinderella. Dia menunggu dan menyambut kedatangan Cinderella di depan pintu istana.

Cinderella hampir lupa pada dirinya kerana terlalu gembira. Dia tidak pernah merasa bahagia seperti itu sebelum ini. Masa berlalu dengan cepat tidak disedarinya waktu sudah pun dua belas tengah malam. Dia terkejut dan segera berlari pulang.

Cinderella takut pakaian cantik akan bertukar menjadi buruk dan kereta kudanya bertukar menjadi tikus kembali. Dia berlari keluar dan mendapati kereta kudanya telah bertukar. Cinderella berlari pulang dengan termengah-mengah.

Putera itu mengejar Cinderella dari belakang. Ketika menuruni tangga, kasut emas Cinderella telah tercabut. Tapi Cinderella tidak menyedarinya. Putera raja mengambil kasut itu. Bila kakak tirinya pulang ke rumah mereka sibuk bercerita. Putera jelita itu telah tertinggal kasut emasnya di istana dan ditemui oleh putera raja.

Pada awal pagi esoknya raja membuat pengumuman. Gadis yang mempunyai kaki yang sesuai dengan saiz kasut emas itu akan dijadikan isteri puteranya. Dia telah memerintahkan pengawalnya membawa kasut itu ke semua rumah di negeri itu untuk dicuba. Tapi tidak seorangpun yang dapat memakainya. Akhirnya pengawal istana itu tiba di rumah Cinderella.

Kedua-dua orang kakak tiri Cinderella sangat gembira hendak mencuba. Bila dia cuba memakai kasut itu dia menjadi marah. “Kenapa tidak muat?” kata kakak tirinya yang pertama. “Kaki aku kelihatan kecil sahaja!” rungutnya.

“Biar aku cuba,” kata kakak tirinya yang kedua. Bila kakak tirinya yang kedua memakainya, kasut itu jauh lebih besar hingga dia tidak boleh berjalan.

“Aku yakin kasut itu sesuai dengan aku tapi mengapa ia menjadi lebih besar dari kaki aku!”

“Adakah sesiapa lagi di dalam rumah ini yang hendak mencuba kasut ini?” tanya pengawal istana kepada kedua orang kakak tiri Cinderella. “Memang tidak ada sesiapa lagi,” jawab mereka.

Pengawal iatana itu terpandang Cinderella yang berada di situ. Hatinya berkata gadis itu cantik tapi pakaiannya compang-camping. Dia pun memanggil Cinderella untuk mencuba. Sebaik sahaja kasut itu tersarung dikakinya, ianya amat sesuai sekali membuat kedua orang kakak tirinya terkejut besar.

Disaat itu juga pari-pari muncul dihadapan mereka dengan tersenyum. Dia pun menyentuh Cinderella dengan tongkat saktinya lalu menukar pakaian Cinderella.

Kakak tiri Cinderella merasa marah dan cemburu. Pari-pari itu pun membawa dia ke kereta kuda yang sedia menanti.

Kereta kuda itu pun bergerak pergi menuju ke istana. Putera raja sangat gembira apabila akhirnya gadis kesayangannya ditemui. Keesokan harinya mereka pun berkahwin dan hidup aman damai.

Cinderella tidak pernah melupakan kedua orang kakak tirinya lalu mengajak mereka tinggal bersamanya di istana. Tidak berapa lama kemudian kedua orang kakak tirinya pun berkahwin dengan orang kaya. Mereka tidak lagi sombong dan hodoh. Lama-kelamaan mereka juga kelihatan cantik dan berbudi bahasa.

Pengajaran :

1. Buat baik dibalas baik.

2. Jangan mudah putus asa.

3. Keajaiban boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Rabu, 16 September 2009

JALAN KE SYURGA


Pada suatu masa dahulu ada seorang raja yang gemuk tetapi bodoh. Baginda mempunyai seorang Menteri yang kurus tetapi pintar. Bila ada peluang sahaja Datuk Menteri cuba menunjukkan kepintarannya kepada raja. Oleh yang demikian, Raja pun sentiasa bergantung kepadanya.
Raja seringkali berkata kepada Datuk Menteri, “Berjanjilah yang datuk tidak akan meninggalkan beta,” dan Datuk Menteri selalu menjawab, “Tidak sekali-kali, tuanku. Di mana pun tuanku berada, tidak kira dalam dunia ini, dalam syurga atau neraka – patik akan sentiasa bersama-sama tuanku. Patik akan sentiasa memberi tuanku nasihat yang berguna dan menyelesaikan semua masalah tuanku.” Kata-kata Datuk Menteri itu amat menggembirakan hati Raja.
Pada suatu petang baginda berjalan-jalan ditepi tebing sungai diiringi oleh Datuk Menteri dan pengiringnya. Ketika Raja mahu berangkat pulang ke istana, tiba-tiba mereka terdengar bunyi musang menyalak-nyalak dalam hutan tidak jauh dari situ. Raja berasa hairan. Baginda berpaling dan bertanya kepada Datuk Menteri, “Mengapakah terlalu banyak musang menyalak-nyalak ketika telinga beta tidak suka mendengar bunyi salakannya itu?”
Datuk Menteri pun menjawab, “Tuanku, seperti yang tuanku tahu, musim dingin kali ini amat sejuk. Musang-musang yang malang itu tidak mempunyai pakaian yang sempurna untuk memanaskan badan. Mereka merayu kepada tuanku supaya diberi selimut.”
“Oh,begitukah? Datuk sungguh bijak kerana memahami bahasa musang. Tapi mengapa mereka tak ada selimut?” tanya Raja lagi.
“Pegawai yang tugasnya memberikan selimut itulah yang mesti disalahkan,” jawab Datuk Menteri yang memang menaruh dendam terhadap pegawai itu.
“Pegawai itu tidak memberi musang-musang itu selimut? Sungguh memalukan! Baiklah. Bungkus pegawai itu dengan selimut dan campakkan dia ke dalam laut. Kemudian beli seratus helai selimut dan bahagikan kepada musang-musang, sahabat beta itu,” perintah Raja.
Tanpa membuang masa Datuk Menteri terus menjalankan titah raja. Tetapi dia hanya menjalankan perintah baginda yang mula-mula sahaja. Dia mencampakkan pegawai itu ke dalam laut, kemudian mengambil wang dari perbendaharaan Raja lalu disimpan untuk kegunaannya sendiri.
Pada petang berikutnya, Raja mendengar musang-musang itu menyalak lagi. Baginda agak hairan lalu bertanya, “Apa pula halnya musang itu sekarang? Mengapa mereka masih menyalak-nyalak?”
“Mereka menyalak-nyalak tanda mengucapkan terima kasih kepada tuanku,” jawab Datuk Menteri sambil tersenyum.
“Sungguh ajaib! Beta yakin tak ada Raja selain daripada beta yang mempunyai Menteri sebijak Menteri beta ini! Wahai sahabat, berjanjilah datuk tak akan meninggalkan beta.
“Tidak,” Datuk Menteri berjanji. “ Patik akan sentiasa bersama-sama tuanku, tak kira tuanku berada di syurga atau neraka.”
Raja amat sukacita mendengar kata Datuk Menteri tetapi kegembiraan baginda hilang apabila tiba-tiba seekor babi hutan berlari keluar dari dalam hutan. Baginda tidak pernah melihat babi hutan sebelumnya. “Alamak!” baginda berteriak. “Binatang apa itu?”
Tentu sekali Datuk Menteri tahu apa binatang itu. Tetapi dengan tenang dia menjawab, “Tuanku, ini adalah gajah kepunyaan tuanku. Ia begitu sengsara kerana pegawai yang bertugas menjaganya cuai, tidak memberinya makan dengan cukup.”
Raja amat murka. Baginda dengan segera memerintahkan pegawai berkenaan dihukum bunuh. Kemudian baginda memerintahkan Datuk Menteri mengambil seberapa banyak wang yang diperlukan untuk memberi makan binatang yang malang itu. Dan sudah tentu Datuk Menteri mengeluarkan wang yang banyak dari perbendaharaan Raja, tetapi wang itu diambil untuk kegunaannya sendiri.
Sebulan berlalu. Pada suatu petang, ketika pulang dari berjalan-jalan dengan Datuk Menteri, baginda bertemu lagi dengan babi hutan yang telah baginda temui dulu. Dengan rasa terkejut, baginda bertanya kepada Datuk Menteri, “Adakah ini gajah yang kebuluran, yang kita lihat hari itu? Mengapa ia tak betambah gemuk?”
Datuk Menteri tersenyum begitu lebar hingga menunjukkan geraham bongsunya. “Tidak tuanku, gajah itu sekarang gemuk seperti tuanku juga. Binatang ini sebenarnya seekor tikus yang telah menjadi terlalu besar kerana ia selalu memakan makanan dalam dapur tuanku. Ini menunjukkan kecuaian tukang masak.”
Raja yang bodoh itu amat murka. Muka baginda yang bulat menjadi merah seperti kulit cili masak. Baginda membeliakkan mata lalu bertitah dengan murkanya, “Sayang sekali! Tikus memakan makanan beta yang baik-baik kerana kecuaian tukang masak!”
Dengan segera Raja memerintahkan supaya tukang masak, setelah menyediakan santapan baginda, dihukum gantung.
Pada petang itu, tukang masak datang menemui Datuk Menteri secara sulit. Dia memberi Datuk Menteri wang yang banyak. Tukang masak juga berjanji, jika Datuk Menteri dapat meyelamatkan nyawanya, dia akan menghantarkan sebahagian daripada setiap hidangan istimewa yang disediakan untuk Raja.
Datuk Menteri berasa gembira. “Jangan bimbang. Biar ku uruskan segala-galanya,” jawabnya.
Pada tengah malam, sebelum tukang masak itu digantung di hadapan Raja, Datuk Menteri tampil ke hadapan sambil berteriak, “Tunggu! Tunggu!”
Datuk Menteri berpaling kepada Raja lalu menerangkan, “Tuanku, patik saja baru bertanyakan ahli nujum. Patik dapati ketika ini iaitu tengah malam ini adalah masa yang amat bertuah. Sesiapa yang digantung sekarang ini akan mendapat tempat yang telah disediakan di syurga. Tuanku, jika tukang masak ini digantung sekarang, hukuman ini tidak bermakna langsung. Sebaliknya ia akan menjadi satu hadiah pula. Orang jahat tak seharusnya diberi masuk ke syurga!”
Datuk Menteri amat terperanjat apabila Raja melompat dengan gembiranya lalu bertitah, “Bagus, bagus sekali! Sekian lama beta teringin sangat melihat syurga. Jadi, sebagai gantinya, gantunglah beta. Kelak beta akan segera dapat melihat syurga – tapi tunggu!” Baginda berpaling kepada Datuk Menteri. “Sahabat beta. Datuk seringkali berjanji untuk menemani beta ke mana saja beta pergi. Sekarang beta akan pergi ke syurga. Datuk akan berjalan di hadapan. Pertanda, gantung Datuk Menteri dulu!”
Sebelum Datuk Menteri yang menggigil ketakutan itu dapat berkata apa-apa, pengiring-pengiring Raja telah memasukkan kepalanya ke tali gantung. Raja berasa gembira kerana perintah baginda dijalankan dengan serta merta.
Setelah pertanda menggantung Datuk Menteri, dia berpaling kepada Raja dan menggantung baginda pula. Memang itulah yang baginda kehendaki!
Adakah mereka dapat melihat syurga? Entahlah.

Cerita Rakyat Asia. 1993. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pengajaran.

1. Kerana mulut badan binasa.

2. Jangan menerima rasuah.

3. Berfikirlah sebelum bertindak.

4. Belajarlah ilmu dari orang yang berpengetahuan supaya tidak mudah ditipu.

SAHABAT dengan SETERU


Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki yang betul-betul jujur dan baik. Dia sangat ramah dan pemurah. Orang-orang memanggilnya “Sahabat”. Pada suatu hari Sahabat memutuskan hendak mengembara. Dia menjual semua harta bendanya dan membeli seekor kuda yang sihat. Dia mengenakan pelana dibelakang kuda itu. Didalam beg pelana itu diisinya makanan dan barang-barang keperluannya. Dia pun menunggang meninggalkan bandar kediamannya itu.
Belum berapa jauh dia berjalan, dilihatnya ada seorang ada seorang penunggang lain mengikutnya dari belakang. Sahabat berhenti sehingga orang itu sampai kepadanya. Dia menyapa orang itu dan bertanyakan namanya.
“Namaku Seteru,” jawabnya.
“Sungguh buruk nama itu!” seru sahabat. “Siapa yang menamakan engkau?”
“Ibu bapa akulah, dan semua memanggilku Seteru. Apa yang boleh kubuat? Namamu siapa?”
“Sahabat,” dia menjawab.
Sahabat dan Seteru setuju mengembara bersama. Mereka terus menunggang sehingga sampai di sebuah mata air yang sungguh jernih. Pada waktu tengahari mereka pun berhenti makan.
“Oleh sebab kita mengembara bersama, eloklah kita berkongsi makanan. Tak payahlah kedua-dua kita membuka beg pelana. Kita mulakan dengan bekalan engkau dahulu. Setelah ia habis nanti, kita makan pula hak aku,” kata Seteru. Sahabat memikirkan cadangan itu sungguh baik. Dia pun membuka beg pelananya lalu berkongsi makanan dan minumannya dengan Seteru. Mereka terus memakan bekalan Sahabat dan mengembara selama beberapa hari lagi sehingga bekalan itu habis.
Tibalah masanya bagi Seteru berkongsi bekalannya dengan Sahabat. Tetapi apabila sampai waktu makan, Seteru membawa makanannya jauh sedikit lalu makan seorang diri. Sahabat tidak berkata apa-apa kerana dia pemalu dan sopan orangnya. Tetapi beberapa waktu kemudian dia berasa sangat lapar dan terlalu lemah. Dia pun berkata kepada Seteru, “Kita telah berkongsi makanan. Engkau telah makan aku punya tapi sekarang tidak mahu pula berkongsi hak engkau dengan aku.”
“Aku orang bijak,” jawab Seteru. “Perjalanan kita mungkin jauh. Jika aku berkongsi bekalanku dengan engkau, cepatlah ia habis nanti. Kita akan sama-sama lapar. Jika aku simpan bekalan itu untukku sendiri, selamatlah aku.”
“Kalau begitulah sikap kau,tak usahlah kita mengembara bersama lagi,” kata Sahabat.
Bila sampai di satu persimpangan di hadapan, mereka pun berpisah. Sahabat terus menunggang beberapa lama dan apabila malam tiba, dia sampai di sebuah kilang lama. Dia melepaskan kuda di kawasan rumput di situ. Kemudian dia masuk ke kilang kosong itu untuk bermalam. Sampai di dalam dilihatnya sebongkah batu yang besar melindungi suatu sudut. Dia pun memanjat untuk berlindung di sebalik batu. Dia tidur berbantalkan beg pelananya.
Tiba-tiba dia terjaga kerana terdengar bunyi suara. Dia meninjau dari atas batu itu. Dalam dalam cahaya bulan tiu dia ternampak seekor singa, harimau, serigala dan musang. Dia berasa ngeri apabila didengarnya singa berkata, “Aku tercium bau manusia!” Tetapi harimau menjawab, “Mana ada manusia yang berani masuk ke kilang ini.” Kemudian serigala menambah, “Orang yang keras semangat saja berani masuk ke tempat berpenunggu macam ini.” Musang menyokong dan berkata, “Janganlah bimbang. Kita boleh bercerita seperti biasa.”
“Mari kita bercerita tentang segala rahsia yang kita tahu,” singa mencadangkan.
“Aku tahu satu rahsia yang sangat hampir dengan kita,” harimau memulakan. “Dalam kilang ini tedapat banyak tikus yang telah mengumpulkan banyak wang emas. Di waktu malam dalam bulan terang, mereka membawa harta itu dan mengaturnya di atas bumbung. Kemudian dalam cahaya bulan itu mereka menari dan bermain-main dengan emas yang berkilau-kilau itu. Mereka akan menyimpan wang emas itu ke dalam lubang mereka yang gelap sebaik-baik saja pagi tiba.
Sampailah giliran serigala pula. “Aku tahu ada seorang raja mempunyai puteri yang telah gila,” katanya. “Puteri itu bertambah kurus dari sehari ke sehari. Dia hanya dapat dipulihkan dengan sejenis rumput. Seorang gembala ada menanamnya dan memberi biri-birinya makan akar rumput ini. Biri-birinya adalah yang paling sihat di negeri ini! Jika sedikit akar itu dimasak dengan susu, ia akan menyembuhkan penyakit gila puteri itu.”
Kini musang pula bercerita tentang rahsianya. “Aku tahu ada sebuah istana lama lebih kurang sebatu dari kilang ini. Di bawahnya ada sebuah mata air yang jernih dan sedap rasanya yang sudah lama tersumbat dengan keledak dan kotoran. Di zaman lampau, semasa airnya masih mengalir keluar, ada sebuah kebun bunga dan buah-buahan yang sungguh indah. Sekarang tanah di situ sudah gersang.”
Setelah selesai, binatang-binatang itu balik ke tempat masing-masing. Apabila Sahabat telah yakin yang mereka sudah pergi, dia pun keluar dari tempat persembunyiannya kerana hendak memastikan sama ada cerita harimau tadi betul atau tidak. Dia naik ke atas bumbung kilang dan dalam cahaya bulan itu didapatinya banyak wang emas berkilau-kilauan. Di atasnya banyak tikus sedang menari dengan gembiranya. Sahabat pun melontar seketul batu kecil untuk menakutkan mereka. Dengan serta-merta mereka lari masuk lubang masing-masing. Dia pun mengisi sakunya dengan wang emas. Kemudian dia mengambil kudanya lalu menunggang ke kampong yang paling dekat untuk terus bermalam.
Pagi esoknya dia pergi ke pinggir kampong itu. Dia bertemu dengan seorang gembala yang sedang duduk di tengah-tengah kumpulan biri-birinya yang gemuk dan sihat itu. Dia teringat akan cerita serigala semalam, lalu dia pun mendapatkan gembala itu dan meminta sedikit akar rumput yang istimewa itu. Pada mulanya gembala itu tidak mahu memberinya tetapi apabila Sahabat menawarkannya wang emas yang diperolehinya dari tikus itu, dengan senang hati gembala itu memberikan akar rumput yang ajaib dan sukar dicari itu.
Sahabat terus pergi ke kota tempat tinggal puteri yang sakit itu tinggal. Semua orang kelihatan muram dan sedih. Mereka menceritakan cerita yang sama yang didengarnya dari serigala. Apabila dia menyatakan bahawa dia boleh mengubat puteri itu, mereka mengingatkannya jika dia gagal, dia akan dihukum bunuh. Sahabat tidak gentar. Dia pergi ke istana dan terus dibawa kepada tuan puteri. Dia meminta sedikit susu. Setelah memasaknya dengan akar tadi, dia memberi tuan puteri itu minum. Beberapa jam kemudian, mukanya berseri-seri dan dia telah sihat serta riang semula.
Semua orang dalam negeri itu sungguh gembira. Tuan puteri dan Sahabat jatuh cinta lalu berkahwin. Raja yang kebetulan tidak mempunyai putera ingin menabalkan Sahabat menjadi Raja Muda, tetapi Sahabat ada rancangan yang lebih baik.
Dia membawa isterinya ke tempat runtuhan yang didengarnya dari musang dahulu. Di sana dia menggali mata air yang jernih dan lazat itu. Kemudian dibinanya sebuah rumah yang sungguh cantik. Dalam masa beberapa tahun sahaja, tempat itu bertukar menjadi taman yang paling indah pernah dilihat di dunia ini.
Pada suatu hari dalam musim bunga Sahabat bersiar-siar dalam taman bersama isteri dan anak-anaknya. Dilihatnya ada seorang penunggang kuda jauh di sana. Apabila bertambah dekat, Sahabat dapati orang itu ialah Seteru, rakan mengembaranya dahulu. Seteru bertanya bagaimana Sahabat menjadi begitu kaya. Sahabat pun memberitahu seluruh ceritanya. Oleh kerana iri hati dengan kekayaan Sahabat, Seteru memutuskan hendak pergi ke kilang lama itu sendiri. Mungkin dia akan mendapat rahsia baru dari binatang-binatang di situ dan menjadi kaya seperti Sahabat.
Dia pergi ke kilang lama itu dan bersembunyi di sebalik batu di sudut. Tidak berapa lama kemudian, singa, harimau, serigala dan musang pun masuk ke situ, tepat sebagaimana kata Sahabat. Seteru cukup puas hati. Kini, tentu dia akan mendapat berita baik. “Aku tercium bau manusia!” seru singa. “Tentu orang yang mendengar dulu tu,” kata harimau. Binatang-binatang lain telah mengetahui bahawa wang emas tikus telah dicuri orang. Mereka sedar dahulunya singa memang betul apabila ia menyatakan ada bau manusia di kilang itu. “Boleh jadi dia bersembunyi,” celah serigala pula. “Mari kita cari,” musang mencadangkan.
Dalam sekejap masa sahaja mereka jumpa Seteru mencangkung di balik batu. Binatang-binatang itu menariknya keluar lalu mengoyakkannya dan membahagikannya kepada empat bahagian. Kemudian mereka makan bahagian masing-masing.
Demikianlah tamatnya riwayat hidup Seteru. Sahabat pula hidup aman damai bersama tuan puteri selama-lamanya.
Cerita Rakyat Asia. 1993. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pengajaran

1. Jadilah orang yang jujur.

2. Jangan putus asa. Rezaki ada di mana-mana.

3. Elakkan dari “cakap tak serupa bikin’.

4. Usaha tangga kejayaan.

Ahad, 13 September 2009

ANAK SAUDAGAR INTAN

Pada zaman dahulu ada seorang saudagar intan yang kaya dan termasyhur di Bandar Kaherah bernama Hasan. Beliau mempunyai seorang anak lelaki bernama Ali yang masih muda remaja. Ali sangat terkenal kerana budi bahasa dan tingkah lakunya yang baik serta tinggi pengetahuannya. Setiap hari Ali menolong bapanya berniaga.
Pada suatu hari saudagar Hasan jatuh sakit. Sakitnya bertambah tenat walaupun tabib yang terhandal di dalam bandar itu mengubatinya. Pada suatu hari saudagar Hasan memanggil anaknya datang dekat dengannya. Hasan memberitahu Ali bahawa beliau sudah tua dan akan mati tidak lama lagi. Hasan berpesan “Cakap aku ini kalau engkau turut, engkau akan selamat. Tetapi sebaliknya jika tidak engkau turut, engkau akan menyesal.”
Ali berjanji akan taat kepada pesanan bapanya itu. Hasan berkata lagi, “Sekarang dengar baik-baik. Apabila aku mati semua harta aku, tanah aku dan kekayaan aku akan engkau warisi. Jagalah baik-baik, gunakan untuk perkara yang berfaedah. Tolonglah orang susah yang patut ditolong, jangan engkau boros berbelanja atau bersukaria dengan kawan-kawan ke sana ke mari. Engkau hendaklah taat mengerjakan perintah Tuhan dan meninggalkan segala larangannya. Pilihlah kawan yang baik, bijak dan ternama. Jauhkan diri engkau daripada orang jahat yang tidak disukai oleh orang ramai.”
Ali diam mendengar semua nasihat dari bapanya. Ali merasa sangat sedih lalu memeluk leher bapanya sambil menangis. Beberapa hari kemudian, saudagar itu pun meninggal dunia. Setelah selesai jenazah bapanya dikebumikan, Ali duduk dirumahnya dengan rasa yang amat sedih selama 40 hari 40 malam.
Pada suatu hari semua kawan-kawannya datang menziarah ke rumahnya. Kawan-kawannya menasihati Ali supaya jangan terlalu bersedih dan mengajaknya keluar bersukaria. Ali akhirnya termakan pujuk dan Ali pun meninggalkan rumahnya lalu pergi bersukaria. Setiap hari Ali membelanjakan wang dengan banyak. Kawan-kawan memuji dan memuliakan Ali. Isteri Ali sangat sedih melihat Ali boros berbelanja.
Pada suatu hari isterinya menegur Ali dengan lembut, “Mengapa kanda asyik membuang masa dan wang setiap hari? Lupakah kanda kepada pesanan ayah kanda dahulu? Uruskanlah perniagaan kanda. Tinggalkanlah kawan-kawan kanda yang hanya mahu menghabiskan wang kanda itu. Masa kanda ada wang sukalah mereka berkawan dengan kanda, kalau kanda tiada wang nanti takkan mahu mereka berkawan dengan kanda lagi.”
Ali tidak mengendahkan kata-kata isterinya yang lemah lembut itu. Ali terus keluar dengan kawan-kawan seperti selalu. Selama tiga tahun keadaan tersebut berterusan. Akhirnya pada suatu hari didapati wangnya sudah habis, lalu dijualnya segala barang yang ada dikedainya. Kemudian kedai itu pula dijualnya, dan selepas itu semua binatang ternakan turut dijualnya. Akhirnya habis segala harta yang ditinggalkan oleh bapanya dahulu terjual dan tergadai, hanya rumah sahaja yang tinggal.
Ali termenung memikirkan bagaimana mahu mencari wang lagi. Apabila isterinya mendapat tahu harta Ali sudah habis, dia pun berkata, “Harta kita sudah habis. Apa kita nak makan sekarang? Cubalah kanda minta tolong pada kawan-kawan kanda yang ramai tu.” Akan tetapi semua kawan-kawan Ali yang telah menolong menghabiskan hartanya dahulu mula menarik diri apabila mengetahui Ali sudah papa. Tiada seorang pun yang sudi membantunya. Masing-masing menyebutkan susah belaka dan ada di antaranya telah pun menghilangkan diri.

Dengan perasaan sedih, Ali pulang menemui isterinya. “Nampaknya tiada seorang pun yang dapat menolong kanda. Biarlah kanda membawa diri ke tempat lain. Mudah-mudahan kanda dapat mengubah nasib kanda.” Ali pun mengucapkan selamat tinggal kepada isteri dan anak-anaknya lalu keluar dari rumahnya.
Ali menuju ke Baluk dengan hanya berjalan kaki. Di Baluk, Ali menumpang sebuah kapal menuju ke Damietta. Apabila sampai, Ali tidak ada arah tuju. Ali berjalan perlahan-lahan di sebuah lorong sambil memerhatikan kedai-kedai. Perbuatannya telah diperhatikan oleh seorang saudagar yang dengan serta merta dapat mengenal bahawa Ali adalah orang dagang. Saudagar itu menegur Ali lalu bertanya khabar. Ali memberitahu bahawa dia baru tiba di situ. Kemudian diceritakan kisah hidupnya dan tujuan beliau mengembara. Saudagar itu merasa simpati lalu membawa Ali pulang ke rumah, diberi makan dan tempat tinggal. Pada suatu hari Ali memberitahu hajatnya ingin ke Syria. Saudagar itu dengan murah hati menyediakan bekalan dan memberi wang perbelanjaan. Ali menumpang sebuah kapal menuju ke Syria dan akhirnya ke Damascus.
Setelah berhenti beberapa hari di Damascus, Ali mendapat tahu ada satu kafilah hendak pergi ke Baghdad. Ali berjumpa dengan seorang saudagar di dalam kafilah itu menceritakan kisahnya dan meminta izin untuk menumpang pergi ke Baghdad. Saudagar itu merasa kasihan mendengar kisahnya lalu di bantunya Ali sepanjang perjalanan ke Baghdad. Akan tetapi, sehari lagi hendak sampai ke Baghdad, kafilah tersebut telah diserang oleh sekumpulan penyamun yang merampas dan membunuh, hanya Ali seorang sahaja yang dapat melepaskan diri. Ali meneruskan perjalanan ke Baghdad dan hanya sampai ke pintu kota pada waktu senja ketika penjaga pintu kota itu sedang menutup pintu.
“Tolong bukakan saya pintu. Tolonglah beri saya masuk,” kata Ali berteriak kepada penjaga pintu. “Tuan siapa, datang dari mana dan hendak ke mana?” sahut penjaga pintu kota itu dari dalam. “Saya Ali, datang dari Kaherah. Saya banyak membawa dagangan hendak berniaga ke mari, tetapi telah ditimpa malang di tengah jalan. Kafilah saya telah kena rompak, barang-barang saya telah dirampas dan rakan-rakan saya telah dibunuh. Nasib saya baik kerana dapat melepaskan diri ke mari. Tolongkan bukakan saya pintu.”
Penjaga pintu kota merasa kasihan mendengarkan ceritanya lalu dibukakannya pintu. “Silalah bermalam di rumah kami kerana hari sudah gelap. Esok kami bawa tuan mencari tempat menumpang yang lebih baik.” Ali mengucapkan terima kasih di atas kemurahan hati mereka. Ali memberi wang menyuruh mereka membeli makanan untuk malam itu.
Pada hari keesokannya, selepas bersarapan, penjaga pintu kota membawa Ali pergi berjumpa seorang saudagar yang kaya di dalam Bandar Baghdad itu. Saudagar itu sudah mendengar khabar mengenai rompakan tersebut. Apabila Ali menceritakan kisahnya, saudagar itu mengucapkan rasa sedihnya di atas kemalangan tersebut. Saudagar itu menyambutnya dengan gembira, diberi makan dan pakaian kepada Ali. Kemudian orang gajinya dipanggil lalu disuruhnya membawa Ali pergi melihat rumah-rumahnya, disuruh Ali memilih salah satu sebagai tempat tinggal sementara.
Orang gaji itu membawa Ali masuk ke sebuah lorong lalu sampai ke sebuah kawasan yang terdapat tiga buah rumah besar yang sangat cantik. “Silalah tuan pilih yang mana tuan suka,” kata orang gaji itu. Ali memandang kepada tiga buah rumah itu direnungnya satu persatu, lalu memilih rumah yang paling besar di antara ketiga-tiga rumah tersebut. “Saya berkenan yang ini,” katanya. “Oh, jangan tuan ambil rumah ini. Ini rumah puaka. Semua orang memanggil ia rumah jahanam. Tiada sesiapa yang selamat tinggal di rumah ini. Siapa yang tidur di rumah ini semuanya mati.” Tersenyum Ali mendengar kata-kata orang gaji itu.Ia bertegas hendak tinggal di situ walaupun orang gaji itu kuat menegahnya. Ali berbicara dalam hatinya, “Jika betul kata orang aku akan mati jika aku tidur di sini, biarlah aku mati. Daripada hidup dengan keadaan seperti ini, lebih baik aku mati.” Ali berpaling kepada orang gaji itu dengan keras sedikit nada suaranya, “Bukakanlah rumah itu, saya tak mahu rumah lain.” Dengan rupa ketakutan, orang gaji itu membukakan pintu rumah tersebut. Ali masuk ke dalam, dilihatnya rumah itu terlalu besar dan sangat cantik rupa didalamnya.
“Minta saya kunci itu,” katanya kepada orang gaji itu. “Pergilah tuan balik dan katakan kepada saudagar itu saya hendak duduk dirumah ini. “Saya tidak berani memberikan kunci ini kepada tuan,” jawab orang gaji itu. “Saya takut kalau tuan saya marah. Marilah kita pergi berjumpa dengan dia dahulu dan tuan sendiri ambil kunci ini daripadanya. Saya tidak berani memberikannya.”
Ali terpaksa mengikut orang gaji balik ke rumah saudagar itu. Saudagar itu juga tidak membenarkan Ali tinggal di situ. Oleh kerana Ali berkeras untuk tinggal disitu, Ali diminta membuat satu surat pengakuan mengatakan bahawa dia tidur didalam rumah itu dengan kehendak hatinya sendiri. Selepas surat pengakuan itu ditandatangani, barulah saudagar itu menyerahkan kunci rumah tersebut bersama perkakas tidur dan sebuah lampu.
Ali tinggal seorang diri di dalam rumah itu. Ali berjalan dari sebuah bilik ke sebuah bilik. Hatinya sangat tertarik dengan susun atur di dalam rumah itu. Di tengah rumah ada satu kawasan lapang dan ada sebuah telaga yang tersangat sejuk dan jernih airnya. Ali berasa sangat panas lalu mandi ditelaga itu. Kemudian Ali mengambil wuduk dan menunaikan solat. Hari semakin gelap. Ali pun bangun memasang lampu lalu bersembahyang maghrib. Lepas sembahyang beliau pun makan.
Kemudian Ali bersiap untuk tidur. “Baik aku naik tidur di atas”, Ali berkata seorang diri. Dipikulnya perkakas tidur itu naik ke atas dan masuk ke dalam sebuah bilik, dibentangkannya di lantai bilik itu lalu berbaring. Namun belum sempat Ali meluruskan badannya tiba-tiba didengarnya satu suara berbunyi. Kata suara itu, “Ali anak Hasan, bolehkah aku bawakan emas itu kepada engkau sekarang?”
Ali sedikit pun tidak berasa takut mendengar suara itu malahan sedia menanti akan apa-apa yang akan berlaku kerana orang lain telah menceritakan kepadanya mengenai rumah tersebut. Ali tidak berasa cuak atau takut sedikit pun lalu menjawab, “Bawakanlah. Mana dia?” Mencurah turun emas ke atas lantai bilik itu seperti hujan turun dari langit. Seketika lamanya penuhlah lantai bilik itu ditimbuni emas beberapa inci tebalnya dan akhirnya barulah ia berhenti. Suara itu berbunyi sekali lagi, “Sekarang lepaskanlah aku pergi, tanggungjawab aku sudah aku sempurnakan. Aku sudah serahkan kepada engkau harta yang diperintahkan aku menjaganya. Berilah aku kebebasan semula.”
“Ceritakan kepada aku dari mana datangnya emas ini?” tanya Ali kepada suara itu. Suara itu menjawab, “Emas itu telah lama berada di dalam simpananku. Aku sudah bertanya kepada tiap-tiap orang yang datang tidur di dalam bilik ini seperti yang aku tanya kepada engkau tadi. Tetapi tiada seorang pun menjawab, oleh sebab itu mereka semua aku bunuh. Masing-masing menunjukkan takut belaka, hanya engkau sahaja yang menjawab. Engkau bertanya di mana emas itu, itulah tanda yang menunjukkan engkau pemilik emas itu. Banyak lagi harta ini tersembunyi. Kalau engkau suka aku boleh ambilkan semuanya. Apabila aku sudah tunaikan tanggungjawab aku sekarang, lepaskanlah aku pergi.”
“Bawakan semua harta itu ke mari dulu. Kalau tidak aku tidak lepaskan engkau,” jawab Ali. “Harta itu pun ada juga orang yang menjaganya. Kalau aku bawakan dia ke mari, mahukah engkau lepaskan dia bersama-sama aku?” tanya suara itu.
“Mahu,” jawab Ali. “Sebelum engkau pergi aku mahu engkau bawakan anak dan isteriku di Kaherah dan bawakan semuanya ke mari.” “Baiklah,” sahut suara itu. Sesudah itu keadaan menjadi sunyi semula. Ali pun tidur sampai siang.
Apabila sudah bangun dari tidur, Ali termenung memikirkan di mana hendak disimpannya emas yang bertimbun itu. Ali berjalan dan akhirnya terjumpa sebuah bilik kosong yang hanya ada sejumlah karung kosong. Di ambilnya karung itu dan diisikannya dengan emas dan disimpannya di dalam bilik itu.
Sebentar kemudian didengarnya bunyi riuh diluar. Ali membuka pintu hadapan dilihatnya orang gaji saudagar itu datang melawatnya. Bersorak orang gaji itu melihat Ali yang membuka pintu itu. Orang gaji itu bergegas balik dan memberitahu saudagar bahawa Ali selamat. Saudagar itu sangat gembira dan hendak pergi melihat sendiri lalu menyuruh orang gajinya menyediakan makanan. “Apa khabar?” tanya saudagar kepada Ali.
“Khabar baik. Mudah-mudahan tiada apa-apa yang mengganggu saya malam tadi”, jawab Ali.
“Alhamdulillah. Saya suka melihat tuan selamat,” jawab saudagar. Setelah berbicara sebentar, saudagar itu pun pulang ke rumahnya.
Tidak lama kemudian, hebohlah orang-orang di dalam Bandar Baghdad menceritakan hal saudagar Ali tidur di rumah puaka. Ramai orang datang berziarah dan berkenalan dengan saudagar Ali. Apabila ditanya oleh orang bila barang dagangannya akan sampai, Ali menjawab, “Jika tiada apa-apa halangan, mungkin tiga hari lagi sampailah ia ke mari. Apabila barang-barang itu sampai nanti, silalah tuan-tuan sekalian datang melihatnya.
Tiga hari selepas itu, jin yang menggugurkan emas itu pun datang kembali berjumpa Ali dan memberitahunya angkatan yang membawa harta itu sudah sampai dekat pintu kota. Ia mengajak Ali pergi menyambutnya kerana anak dan isterinya datang bersama. Dengan rasa yang amat gembira, Ali memberitahu saudagar kenalannya bahawa barang dagangan bersama anak dan isterinya sudah sampai di luar kota. Saudagar-saudagar itu semuanya bersetuju untuk menyambut kedatangan angkatan itu kerana masing-masing ingin tahu setakat mana kekayaan saudagar Ali.
Tidak lama mereka menanti diluar kota, mereka nampak dari jauh gelap rupa debu naik ke udara. Akhirnya muncullah satu kafilah yang besar mengandungi berpuluh-puluh ekor unta, kuda dan keldai. Masing-masing sarat membawa bebanan terikat dibelakangnya. Apabila sampai ketua kafilah berjumpa Ali dan memberi hormat lalu diperintahkan oleh Ali berjalan masuk ke dalam kota.
“Banyak sungguh harta saudagar Ali ini,” kata salah seorang daripada mereka. “dekat-dekat sama seperti Khalifah pula nampaknya pemandangannya. Sekalian saudagar itu hairan melihatkan harta saudagar Ali yang terlalu banyak. Mereka amat hairan apabila memandang pakaian anak dan isteri saudagar Ali itu semuanya daripada jenis barang yang mahal-mahal belaka.
“Nampaknya tak cukup tempat di sini. Suruhlah orang-orang itu separuh tinggal di rumah saya di sebelah. “Terima kasih banyak-banyak,” sahut Ali. Orang-orang ini tidak lama di sini kerana mereka akan bertolak ke tempat lain.
Apabila semua orang yang datang melawat pulang ke rumah masing-masing, Ali bertanya kepada isterinya, “Kanda ingin sangat nak mendengar cerita adinda sepeninggalan kanda dahulu. Cuba ceritakan semuanya. Dengan perasaan sedih dan hiba dengan air mata berlinang-linang isterinya bercerita sambil tersenyum, “Tak dapat adinda gambarkan bagaimana penderitaan adinda anak-beranak lepas kanda pergi dahulu. Tersangatlah seksa kerana adinda selalu tidak dapat makan. Kadang-kadang hampir kebuluran. Bermacam ikhtiar adinda usahakan dengan susah payah, dapat juga adinda memberi anak-anak kita sesuap pagi dan sesuap petang”.
“Kanda faham tetapi semua perkara sudah lepas. Kanda bersyukur kepada Tuhan kerana adinda sekalian telah selamat. Bagaimana adinda boleh ke mari? Cuba ceritakan pada kanda,” tanya Ali lagi.
“Malam tadi pada masa adinda sedang tidur dengan anak-anak, tiba-tiba adinda terjaga. Rasanya adinda diangkat orang dibawa terbang melayang di udara. Sebentar kemudian adinda dapati adinda telah diletakkan di padang pasir ditengah-tengah satu angkatan kafilah yang besar.
“Kamu ini siapa, hendak ke mana kamu bawa aku?” tanya adinda kepada ketuanya. “Kami semua bekerja dengan Ali, suami tuan hamba. Angkatan kafilah ini dialah yang punya. Kami diperintahkan membawa tuan hamba serta anak-anak tuan hamba ke Banghdad. Suami tuan hamba ada menanti di sana”.
“Di mana adinda dapat baju cantik yang adinda pakai ini?” tanya Ali lagi. “Ketua yang bercakap dengan adinda itu memberinya. Adinda tengok dia membuka sebuah peti mengeluarkan baju ini dan diberikan kepada adinda. Lepas itu dikuncinya peti itu semula. Anak kuncinya diberikan kepada adinda minta disampaikan kepada kanda. Isterinya pun menyerahkan anak kunci tersebut kepada suaminya. Ali pun membuka peti itu. Didapatinya peti itu penuh berisi dengan kain yang mahal-mahal yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Di dalam peti itu terjumpa anak kunci peti-peti lain. Kesemua peti lain itu berisi permata yang tidak ternilai harganya.
Setelah habis diperiksa, Ali mengajak isterinya naik ke bilik di tingkat atas, tempat dia mula-mula tidur dahulu. Dibukanya bilik stor tempat karung-karung emas itu disembunyikan lalu diceritakan isi karung-karung itu kepada isterinya. “Di mana kanda dapat emas sebanyak ini?” tanya isterinya dengan nada gembira. Ali tersenyum tidak menjawab. Kemudian dipimpin tangan isterinya dibawa ke tepi sebuah tingkap. Sambil memandang ke luar Ali menceritakan semua pengalamannya itu kepada isterinya.
Isterinya sangat gembira. “Kita mesti mengucapkan syukur kepada Tuhan. Hendaklah kita insaf akan diri kita. Segala derita dan azab sengsara yang kita rasai dulu patut menjadi pengajaran besar kepada kita. Adinda harap kanda tentulah tidak mahu berkawan seperti dulu lagi. Ali termenung lalu fikirannya melayang ke masa silam. Masa ia berharta dahulu ramai kawannya tetapi apabila hartanya habis, semua kawan-kawannya menarik diri.
Ali pun membeli rumah besar tersebut daripada saudagar itu. Nama saudagar Ali sangat harum sebagai seorang saudagar kaya yang sangat pemurah dan sangat bertimbangrasa dengan orang yang ada perhubungan dengannya.

Adaptasi daripada Cherita-cherita dari Tanah Arab, Caxton Press LTD.,Kuala Lumpur (1954).
Pengajaran
1. Jangan selalu ikut perasaan. Berfikir sebelum bertindak.
2. Terima pendapat orang lain.
3. Belajar dari kesilapan.
4. Usaha tangga kejayaan.
5. Mendidik kita supaya menghormati ibu bapa dan orang yang lebih tua.
6. Mengajar kita supaya jangan cepat putus asa apabila menghadapi dugaan.
7. Mengajar kita supaya bersabar apabila menghadapi rintangan.