Rabu, 16 September 2009

JALAN KE SYURGA


Pada suatu masa dahulu ada seorang raja yang gemuk tetapi bodoh. Baginda mempunyai seorang Menteri yang kurus tetapi pintar. Bila ada peluang sahaja Datuk Menteri cuba menunjukkan kepintarannya kepada raja. Oleh yang demikian, Raja pun sentiasa bergantung kepadanya.
Raja seringkali berkata kepada Datuk Menteri, “Berjanjilah yang datuk tidak akan meninggalkan beta,” dan Datuk Menteri selalu menjawab, “Tidak sekali-kali, tuanku. Di mana pun tuanku berada, tidak kira dalam dunia ini, dalam syurga atau neraka – patik akan sentiasa bersama-sama tuanku. Patik akan sentiasa memberi tuanku nasihat yang berguna dan menyelesaikan semua masalah tuanku.” Kata-kata Datuk Menteri itu amat menggembirakan hati Raja.
Pada suatu petang baginda berjalan-jalan ditepi tebing sungai diiringi oleh Datuk Menteri dan pengiringnya. Ketika Raja mahu berangkat pulang ke istana, tiba-tiba mereka terdengar bunyi musang menyalak-nyalak dalam hutan tidak jauh dari situ. Raja berasa hairan. Baginda berpaling dan bertanya kepada Datuk Menteri, “Mengapakah terlalu banyak musang menyalak-nyalak ketika telinga beta tidak suka mendengar bunyi salakannya itu?”
Datuk Menteri pun menjawab, “Tuanku, seperti yang tuanku tahu, musim dingin kali ini amat sejuk. Musang-musang yang malang itu tidak mempunyai pakaian yang sempurna untuk memanaskan badan. Mereka merayu kepada tuanku supaya diberi selimut.”
“Oh,begitukah? Datuk sungguh bijak kerana memahami bahasa musang. Tapi mengapa mereka tak ada selimut?” tanya Raja lagi.
“Pegawai yang tugasnya memberikan selimut itulah yang mesti disalahkan,” jawab Datuk Menteri yang memang menaruh dendam terhadap pegawai itu.
“Pegawai itu tidak memberi musang-musang itu selimut? Sungguh memalukan! Baiklah. Bungkus pegawai itu dengan selimut dan campakkan dia ke dalam laut. Kemudian beli seratus helai selimut dan bahagikan kepada musang-musang, sahabat beta itu,” perintah Raja.
Tanpa membuang masa Datuk Menteri terus menjalankan titah raja. Tetapi dia hanya menjalankan perintah baginda yang mula-mula sahaja. Dia mencampakkan pegawai itu ke dalam laut, kemudian mengambil wang dari perbendaharaan Raja lalu disimpan untuk kegunaannya sendiri.
Pada petang berikutnya, Raja mendengar musang-musang itu menyalak lagi. Baginda agak hairan lalu bertanya, “Apa pula halnya musang itu sekarang? Mengapa mereka masih menyalak-nyalak?”
“Mereka menyalak-nyalak tanda mengucapkan terima kasih kepada tuanku,” jawab Datuk Menteri sambil tersenyum.
“Sungguh ajaib! Beta yakin tak ada Raja selain daripada beta yang mempunyai Menteri sebijak Menteri beta ini! Wahai sahabat, berjanjilah datuk tak akan meninggalkan beta.
“Tidak,” Datuk Menteri berjanji. “ Patik akan sentiasa bersama-sama tuanku, tak kira tuanku berada di syurga atau neraka.”
Raja amat sukacita mendengar kata Datuk Menteri tetapi kegembiraan baginda hilang apabila tiba-tiba seekor babi hutan berlari keluar dari dalam hutan. Baginda tidak pernah melihat babi hutan sebelumnya. “Alamak!” baginda berteriak. “Binatang apa itu?”
Tentu sekali Datuk Menteri tahu apa binatang itu. Tetapi dengan tenang dia menjawab, “Tuanku, ini adalah gajah kepunyaan tuanku. Ia begitu sengsara kerana pegawai yang bertugas menjaganya cuai, tidak memberinya makan dengan cukup.”
Raja amat murka. Baginda dengan segera memerintahkan pegawai berkenaan dihukum bunuh. Kemudian baginda memerintahkan Datuk Menteri mengambil seberapa banyak wang yang diperlukan untuk memberi makan binatang yang malang itu. Dan sudah tentu Datuk Menteri mengeluarkan wang yang banyak dari perbendaharaan Raja, tetapi wang itu diambil untuk kegunaannya sendiri.
Sebulan berlalu. Pada suatu petang, ketika pulang dari berjalan-jalan dengan Datuk Menteri, baginda bertemu lagi dengan babi hutan yang telah baginda temui dulu. Dengan rasa terkejut, baginda bertanya kepada Datuk Menteri, “Adakah ini gajah yang kebuluran, yang kita lihat hari itu? Mengapa ia tak betambah gemuk?”
Datuk Menteri tersenyum begitu lebar hingga menunjukkan geraham bongsunya. “Tidak tuanku, gajah itu sekarang gemuk seperti tuanku juga. Binatang ini sebenarnya seekor tikus yang telah menjadi terlalu besar kerana ia selalu memakan makanan dalam dapur tuanku. Ini menunjukkan kecuaian tukang masak.”
Raja yang bodoh itu amat murka. Muka baginda yang bulat menjadi merah seperti kulit cili masak. Baginda membeliakkan mata lalu bertitah dengan murkanya, “Sayang sekali! Tikus memakan makanan beta yang baik-baik kerana kecuaian tukang masak!”
Dengan segera Raja memerintahkan supaya tukang masak, setelah menyediakan santapan baginda, dihukum gantung.
Pada petang itu, tukang masak datang menemui Datuk Menteri secara sulit. Dia memberi Datuk Menteri wang yang banyak. Tukang masak juga berjanji, jika Datuk Menteri dapat meyelamatkan nyawanya, dia akan menghantarkan sebahagian daripada setiap hidangan istimewa yang disediakan untuk Raja.
Datuk Menteri berasa gembira. “Jangan bimbang. Biar ku uruskan segala-galanya,” jawabnya.
Pada tengah malam, sebelum tukang masak itu digantung di hadapan Raja, Datuk Menteri tampil ke hadapan sambil berteriak, “Tunggu! Tunggu!”
Datuk Menteri berpaling kepada Raja lalu menerangkan, “Tuanku, patik saja baru bertanyakan ahli nujum. Patik dapati ketika ini iaitu tengah malam ini adalah masa yang amat bertuah. Sesiapa yang digantung sekarang ini akan mendapat tempat yang telah disediakan di syurga. Tuanku, jika tukang masak ini digantung sekarang, hukuman ini tidak bermakna langsung. Sebaliknya ia akan menjadi satu hadiah pula. Orang jahat tak seharusnya diberi masuk ke syurga!”
Datuk Menteri amat terperanjat apabila Raja melompat dengan gembiranya lalu bertitah, “Bagus, bagus sekali! Sekian lama beta teringin sangat melihat syurga. Jadi, sebagai gantinya, gantunglah beta. Kelak beta akan segera dapat melihat syurga – tapi tunggu!” Baginda berpaling kepada Datuk Menteri. “Sahabat beta. Datuk seringkali berjanji untuk menemani beta ke mana saja beta pergi. Sekarang beta akan pergi ke syurga. Datuk akan berjalan di hadapan. Pertanda, gantung Datuk Menteri dulu!”
Sebelum Datuk Menteri yang menggigil ketakutan itu dapat berkata apa-apa, pengiring-pengiring Raja telah memasukkan kepalanya ke tali gantung. Raja berasa gembira kerana perintah baginda dijalankan dengan serta merta.
Setelah pertanda menggantung Datuk Menteri, dia berpaling kepada Raja dan menggantung baginda pula. Memang itulah yang baginda kehendaki!
Adakah mereka dapat melihat syurga? Entahlah.

Cerita Rakyat Asia. 1993. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pengajaran.

1. Kerana mulut badan binasa.

2. Jangan menerima rasuah.

3. Berfikirlah sebelum bertindak.

4. Belajarlah ilmu dari orang yang berpengetahuan supaya tidak mudah ditipu.

SAHABAT dengan SETERU


Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki yang betul-betul jujur dan baik. Dia sangat ramah dan pemurah. Orang-orang memanggilnya “Sahabat”. Pada suatu hari Sahabat memutuskan hendak mengembara. Dia menjual semua harta bendanya dan membeli seekor kuda yang sihat. Dia mengenakan pelana dibelakang kuda itu. Didalam beg pelana itu diisinya makanan dan barang-barang keperluannya. Dia pun menunggang meninggalkan bandar kediamannya itu.
Belum berapa jauh dia berjalan, dilihatnya ada seorang ada seorang penunggang lain mengikutnya dari belakang. Sahabat berhenti sehingga orang itu sampai kepadanya. Dia menyapa orang itu dan bertanyakan namanya.
“Namaku Seteru,” jawabnya.
“Sungguh buruk nama itu!” seru sahabat. “Siapa yang menamakan engkau?”
“Ibu bapa akulah, dan semua memanggilku Seteru. Apa yang boleh kubuat? Namamu siapa?”
“Sahabat,” dia menjawab.
Sahabat dan Seteru setuju mengembara bersama. Mereka terus menunggang sehingga sampai di sebuah mata air yang sungguh jernih. Pada waktu tengahari mereka pun berhenti makan.
“Oleh sebab kita mengembara bersama, eloklah kita berkongsi makanan. Tak payahlah kedua-dua kita membuka beg pelana. Kita mulakan dengan bekalan engkau dahulu. Setelah ia habis nanti, kita makan pula hak aku,” kata Seteru. Sahabat memikirkan cadangan itu sungguh baik. Dia pun membuka beg pelananya lalu berkongsi makanan dan minumannya dengan Seteru. Mereka terus memakan bekalan Sahabat dan mengembara selama beberapa hari lagi sehingga bekalan itu habis.
Tibalah masanya bagi Seteru berkongsi bekalannya dengan Sahabat. Tetapi apabila sampai waktu makan, Seteru membawa makanannya jauh sedikit lalu makan seorang diri. Sahabat tidak berkata apa-apa kerana dia pemalu dan sopan orangnya. Tetapi beberapa waktu kemudian dia berasa sangat lapar dan terlalu lemah. Dia pun berkata kepada Seteru, “Kita telah berkongsi makanan. Engkau telah makan aku punya tapi sekarang tidak mahu pula berkongsi hak engkau dengan aku.”
“Aku orang bijak,” jawab Seteru. “Perjalanan kita mungkin jauh. Jika aku berkongsi bekalanku dengan engkau, cepatlah ia habis nanti. Kita akan sama-sama lapar. Jika aku simpan bekalan itu untukku sendiri, selamatlah aku.”
“Kalau begitulah sikap kau,tak usahlah kita mengembara bersama lagi,” kata Sahabat.
Bila sampai di satu persimpangan di hadapan, mereka pun berpisah. Sahabat terus menunggang beberapa lama dan apabila malam tiba, dia sampai di sebuah kilang lama. Dia melepaskan kuda di kawasan rumput di situ. Kemudian dia masuk ke kilang kosong itu untuk bermalam. Sampai di dalam dilihatnya sebongkah batu yang besar melindungi suatu sudut. Dia pun memanjat untuk berlindung di sebalik batu. Dia tidur berbantalkan beg pelananya.
Tiba-tiba dia terjaga kerana terdengar bunyi suara. Dia meninjau dari atas batu itu. Dalam dalam cahaya bulan tiu dia ternampak seekor singa, harimau, serigala dan musang. Dia berasa ngeri apabila didengarnya singa berkata, “Aku tercium bau manusia!” Tetapi harimau menjawab, “Mana ada manusia yang berani masuk ke kilang ini.” Kemudian serigala menambah, “Orang yang keras semangat saja berani masuk ke tempat berpenunggu macam ini.” Musang menyokong dan berkata, “Janganlah bimbang. Kita boleh bercerita seperti biasa.”
“Mari kita bercerita tentang segala rahsia yang kita tahu,” singa mencadangkan.
“Aku tahu satu rahsia yang sangat hampir dengan kita,” harimau memulakan. “Dalam kilang ini tedapat banyak tikus yang telah mengumpulkan banyak wang emas. Di waktu malam dalam bulan terang, mereka membawa harta itu dan mengaturnya di atas bumbung. Kemudian dalam cahaya bulan itu mereka menari dan bermain-main dengan emas yang berkilau-kilau itu. Mereka akan menyimpan wang emas itu ke dalam lubang mereka yang gelap sebaik-baik saja pagi tiba.
Sampailah giliran serigala pula. “Aku tahu ada seorang raja mempunyai puteri yang telah gila,” katanya. “Puteri itu bertambah kurus dari sehari ke sehari. Dia hanya dapat dipulihkan dengan sejenis rumput. Seorang gembala ada menanamnya dan memberi biri-birinya makan akar rumput ini. Biri-birinya adalah yang paling sihat di negeri ini! Jika sedikit akar itu dimasak dengan susu, ia akan menyembuhkan penyakit gila puteri itu.”
Kini musang pula bercerita tentang rahsianya. “Aku tahu ada sebuah istana lama lebih kurang sebatu dari kilang ini. Di bawahnya ada sebuah mata air yang jernih dan sedap rasanya yang sudah lama tersumbat dengan keledak dan kotoran. Di zaman lampau, semasa airnya masih mengalir keluar, ada sebuah kebun bunga dan buah-buahan yang sungguh indah. Sekarang tanah di situ sudah gersang.”
Setelah selesai, binatang-binatang itu balik ke tempat masing-masing. Apabila Sahabat telah yakin yang mereka sudah pergi, dia pun keluar dari tempat persembunyiannya kerana hendak memastikan sama ada cerita harimau tadi betul atau tidak. Dia naik ke atas bumbung kilang dan dalam cahaya bulan itu didapatinya banyak wang emas berkilau-kilauan. Di atasnya banyak tikus sedang menari dengan gembiranya. Sahabat pun melontar seketul batu kecil untuk menakutkan mereka. Dengan serta-merta mereka lari masuk lubang masing-masing. Dia pun mengisi sakunya dengan wang emas. Kemudian dia mengambil kudanya lalu menunggang ke kampong yang paling dekat untuk terus bermalam.
Pagi esoknya dia pergi ke pinggir kampong itu. Dia bertemu dengan seorang gembala yang sedang duduk di tengah-tengah kumpulan biri-birinya yang gemuk dan sihat itu. Dia teringat akan cerita serigala semalam, lalu dia pun mendapatkan gembala itu dan meminta sedikit akar rumput yang istimewa itu. Pada mulanya gembala itu tidak mahu memberinya tetapi apabila Sahabat menawarkannya wang emas yang diperolehinya dari tikus itu, dengan senang hati gembala itu memberikan akar rumput yang ajaib dan sukar dicari itu.
Sahabat terus pergi ke kota tempat tinggal puteri yang sakit itu tinggal. Semua orang kelihatan muram dan sedih. Mereka menceritakan cerita yang sama yang didengarnya dari serigala. Apabila dia menyatakan bahawa dia boleh mengubat puteri itu, mereka mengingatkannya jika dia gagal, dia akan dihukum bunuh. Sahabat tidak gentar. Dia pergi ke istana dan terus dibawa kepada tuan puteri. Dia meminta sedikit susu. Setelah memasaknya dengan akar tadi, dia memberi tuan puteri itu minum. Beberapa jam kemudian, mukanya berseri-seri dan dia telah sihat serta riang semula.
Semua orang dalam negeri itu sungguh gembira. Tuan puteri dan Sahabat jatuh cinta lalu berkahwin. Raja yang kebetulan tidak mempunyai putera ingin menabalkan Sahabat menjadi Raja Muda, tetapi Sahabat ada rancangan yang lebih baik.
Dia membawa isterinya ke tempat runtuhan yang didengarnya dari musang dahulu. Di sana dia menggali mata air yang jernih dan lazat itu. Kemudian dibinanya sebuah rumah yang sungguh cantik. Dalam masa beberapa tahun sahaja, tempat itu bertukar menjadi taman yang paling indah pernah dilihat di dunia ini.
Pada suatu hari dalam musim bunga Sahabat bersiar-siar dalam taman bersama isteri dan anak-anaknya. Dilihatnya ada seorang penunggang kuda jauh di sana. Apabila bertambah dekat, Sahabat dapati orang itu ialah Seteru, rakan mengembaranya dahulu. Seteru bertanya bagaimana Sahabat menjadi begitu kaya. Sahabat pun memberitahu seluruh ceritanya. Oleh kerana iri hati dengan kekayaan Sahabat, Seteru memutuskan hendak pergi ke kilang lama itu sendiri. Mungkin dia akan mendapat rahsia baru dari binatang-binatang di situ dan menjadi kaya seperti Sahabat.
Dia pergi ke kilang lama itu dan bersembunyi di sebalik batu di sudut. Tidak berapa lama kemudian, singa, harimau, serigala dan musang pun masuk ke situ, tepat sebagaimana kata Sahabat. Seteru cukup puas hati. Kini, tentu dia akan mendapat berita baik. “Aku tercium bau manusia!” seru singa. “Tentu orang yang mendengar dulu tu,” kata harimau. Binatang-binatang lain telah mengetahui bahawa wang emas tikus telah dicuri orang. Mereka sedar dahulunya singa memang betul apabila ia menyatakan ada bau manusia di kilang itu. “Boleh jadi dia bersembunyi,” celah serigala pula. “Mari kita cari,” musang mencadangkan.
Dalam sekejap masa sahaja mereka jumpa Seteru mencangkung di balik batu. Binatang-binatang itu menariknya keluar lalu mengoyakkannya dan membahagikannya kepada empat bahagian. Kemudian mereka makan bahagian masing-masing.
Demikianlah tamatnya riwayat hidup Seteru. Sahabat pula hidup aman damai bersama tuan puteri selama-lamanya.
Cerita Rakyat Asia. 1993. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pengajaran

1. Jadilah orang yang jujur.

2. Jangan putus asa. Rezaki ada di mana-mana.

3. Elakkan dari “cakap tak serupa bikin’.

4. Usaha tangga kejayaan.

Ahad, 13 September 2009

ANAK SAUDAGAR INTAN

Pada zaman dahulu ada seorang saudagar intan yang kaya dan termasyhur di Bandar Kaherah bernama Hasan. Beliau mempunyai seorang anak lelaki bernama Ali yang masih muda remaja. Ali sangat terkenal kerana budi bahasa dan tingkah lakunya yang baik serta tinggi pengetahuannya. Setiap hari Ali menolong bapanya berniaga.
Pada suatu hari saudagar Hasan jatuh sakit. Sakitnya bertambah tenat walaupun tabib yang terhandal di dalam bandar itu mengubatinya. Pada suatu hari saudagar Hasan memanggil anaknya datang dekat dengannya. Hasan memberitahu Ali bahawa beliau sudah tua dan akan mati tidak lama lagi. Hasan berpesan “Cakap aku ini kalau engkau turut, engkau akan selamat. Tetapi sebaliknya jika tidak engkau turut, engkau akan menyesal.”
Ali berjanji akan taat kepada pesanan bapanya itu. Hasan berkata lagi, “Sekarang dengar baik-baik. Apabila aku mati semua harta aku, tanah aku dan kekayaan aku akan engkau warisi. Jagalah baik-baik, gunakan untuk perkara yang berfaedah. Tolonglah orang susah yang patut ditolong, jangan engkau boros berbelanja atau bersukaria dengan kawan-kawan ke sana ke mari. Engkau hendaklah taat mengerjakan perintah Tuhan dan meninggalkan segala larangannya. Pilihlah kawan yang baik, bijak dan ternama. Jauhkan diri engkau daripada orang jahat yang tidak disukai oleh orang ramai.”
Ali diam mendengar semua nasihat dari bapanya. Ali merasa sangat sedih lalu memeluk leher bapanya sambil menangis. Beberapa hari kemudian, saudagar itu pun meninggal dunia. Setelah selesai jenazah bapanya dikebumikan, Ali duduk dirumahnya dengan rasa yang amat sedih selama 40 hari 40 malam.
Pada suatu hari semua kawan-kawannya datang menziarah ke rumahnya. Kawan-kawannya menasihati Ali supaya jangan terlalu bersedih dan mengajaknya keluar bersukaria. Ali akhirnya termakan pujuk dan Ali pun meninggalkan rumahnya lalu pergi bersukaria. Setiap hari Ali membelanjakan wang dengan banyak. Kawan-kawan memuji dan memuliakan Ali. Isteri Ali sangat sedih melihat Ali boros berbelanja.
Pada suatu hari isterinya menegur Ali dengan lembut, “Mengapa kanda asyik membuang masa dan wang setiap hari? Lupakah kanda kepada pesanan ayah kanda dahulu? Uruskanlah perniagaan kanda. Tinggalkanlah kawan-kawan kanda yang hanya mahu menghabiskan wang kanda itu. Masa kanda ada wang sukalah mereka berkawan dengan kanda, kalau kanda tiada wang nanti takkan mahu mereka berkawan dengan kanda lagi.”
Ali tidak mengendahkan kata-kata isterinya yang lemah lembut itu. Ali terus keluar dengan kawan-kawan seperti selalu. Selama tiga tahun keadaan tersebut berterusan. Akhirnya pada suatu hari didapati wangnya sudah habis, lalu dijualnya segala barang yang ada dikedainya. Kemudian kedai itu pula dijualnya, dan selepas itu semua binatang ternakan turut dijualnya. Akhirnya habis segala harta yang ditinggalkan oleh bapanya dahulu terjual dan tergadai, hanya rumah sahaja yang tinggal.
Ali termenung memikirkan bagaimana mahu mencari wang lagi. Apabila isterinya mendapat tahu harta Ali sudah habis, dia pun berkata, “Harta kita sudah habis. Apa kita nak makan sekarang? Cubalah kanda minta tolong pada kawan-kawan kanda yang ramai tu.” Akan tetapi semua kawan-kawan Ali yang telah menolong menghabiskan hartanya dahulu mula menarik diri apabila mengetahui Ali sudah papa. Tiada seorang pun yang sudi membantunya. Masing-masing menyebutkan susah belaka dan ada di antaranya telah pun menghilangkan diri.

Dengan perasaan sedih, Ali pulang menemui isterinya. “Nampaknya tiada seorang pun yang dapat menolong kanda. Biarlah kanda membawa diri ke tempat lain. Mudah-mudahan kanda dapat mengubah nasib kanda.” Ali pun mengucapkan selamat tinggal kepada isteri dan anak-anaknya lalu keluar dari rumahnya.
Ali menuju ke Baluk dengan hanya berjalan kaki. Di Baluk, Ali menumpang sebuah kapal menuju ke Damietta. Apabila sampai, Ali tidak ada arah tuju. Ali berjalan perlahan-lahan di sebuah lorong sambil memerhatikan kedai-kedai. Perbuatannya telah diperhatikan oleh seorang saudagar yang dengan serta merta dapat mengenal bahawa Ali adalah orang dagang. Saudagar itu menegur Ali lalu bertanya khabar. Ali memberitahu bahawa dia baru tiba di situ. Kemudian diceritakan kisah hidupnya dan tujuan beliau mengembara. Saudagar itu merasa simpati lalu membawa Ali pulang ke rumah, diberi makan dan tempat tinggal. Pada suatu hari Ali memberitahu hajatnya ingin ke Syria. Saudagar itu dengan murah hati menyediakan bekalan dan memberi wang perbelanjaan. Ali menumpang sebuah kapal menuju ke Syria dan akhirnya ke Damascus.
Setelah berhenti beberapa hari di Damascus, Ali mendapat tahu ada satu kafilah hendak pergi ke Baghdad. Ali berjumpa dengan seorang saudagar di dalam kafilah itu menceritakan kisahnya dan meminta izin untuk menumpang pergi ke Baghdad. Saudagar itu merasa kasihan mendengar kisahnya lalu di bantunya Ali sepanjang perjalanan ke Baghdad. Akan tetapi, sehari lagi hendak sampai ke Baghdad, kafilah tersebut telah diserang oleh sekumpulan penyamun yang merampas dan membunuh, hanya Ali seorang sahaja yang dapat melepaskan diri. Ali meneruskan perjalanan ke Baghdad dan hanya sampai ke pintu kota pada waktu senja ketika penjaga pintu kota itu sedang menutup pintu.
“Tolong bukakan saya pintu. Tolonglah beri saya masuk,” kata Ali berteriak kepada penjaga pintu. “Tuan siapa, datang dari mana dan hendak ke mana?” sahut penjaga pintu kota itu dari dalam. “Saya Ali, datang dari Kaherah. Saya banyak membawa dagangan hendak berniaga ke mari, tetapi telah ditimpa malang di tengah jalan. Kafilah saya telah kena rompak, barang-barang saya telah dirampas dan rakan-rakan saya telah dibunuh. Nasib saya baik kerana dapat melepaskan diri ke mari. Tolongkan bukakan saya pintu.”
Penjaga pintu kota merasa kasihan mendengarkan ceritanya lalu dibukakannya pintu. “Silalah bermalam di rumah kami kerana hari sudah gelap. Esok kami bawa tuan mencari tempat menumpang yang lebih baik.” Ali mengucapkan terima kasih di atas kemurahan hati mereka. Ali memberi wang menyuruh mereka membeli makanan untuk malam itu.
Pada hari keesokannya, selepas bersarapan, penjaga pintu kota membawa Ali pergi berjumpa seorang saudagar yang kaya di dalam Bandar Baghdad itu. Saudagar itu sudah mendengar khabar mengenai rompakan tersebut. Apabila Ali menceritakan kisahnya, saudagar itu mengucapkan rasa sedihnya di atas kemalangan tersebut. Saudagar itu menyambutnya dengan gembira, diberi makan dan pakaian kepada Ali. Kemudian orang gajinya dipanggil lalu disuruhnya membawa Ali pergi melihat rumah-rumahnya, disuruh Ali memilih salah satu sebagai tempat tinggal sementara.
Orang gaji itu membawa Ali masuk ke sebuah lorong lalu sampai ke sebuah kawasan yang terdapat tiga buah rumah besar yang sangat cantik. “Silalah tuan pilih yang mana tuan suka,” kata orang gaji itu. Ali memandang kepada tiga buah rumah itu direnungnya satu persatu, lalu memilih rumah yang paling besar di antara ketiga-tiga rumah tersebut. “Saya berkenan yang ini,” katanya. “Oh, jangan tuan ambil rumah ini. Ini rumah puaka. Semua orang memanggil ia rumah jahanam. Tiada sesiapa yang selamat tinggal di rumah ini. Siapa yang tidur di rumah ini semuanya mati.” Tersenyum Ali mendengar kata-kata orang gaji itu.Ia bertegas hendak tinggal di situ walaupun orang gaji itu kuat menegahnya. Ali berbicara dalam hatinya, “Jika betul kata orang aku akan mati jika aku tidur di sini, biarlah aku mati. Daripada hidup dengan keadaan seperti ini, lebih baik aku mati.” Ali berpaling kepada orang gaji itu dengan keras sedikit nada suaranya, “Bukakanlah rumah itu, saya tak mahu rumah lain.” Dengan rupa ketakutan, orang gaji itu membukakan pintu rumah tersebut. Ali masuk ke dalam, dilihatnya rumah itu terlalu besar dan sangat cantik rupa didalamnya.
“Minta saya kunci itu,” katanya kepada orang gaji itu. “Pergilah tuan balik dan katakan kepada saudagar itu saya hendak duduk dirumah ini. “Saya tidak berani memberikan kunci ini kepada tuan,” jawab orang gaji itu. “Saya takut kalau tuan saya marah. Marilah kita pergi berjumpa dengan dia dahulu dan tuan sendiri ambil kunci ini daripadanya. Saya tidak berani memberikannya.”
Ali terpaksa mengikut orang gaji balik ke rumah saudagar itu. Saudagar itu juga tidak membenarkan Ali tinggal di situ. Oleh kerana Ali berkeras untuk tinggal disitu, Ali diminta membuat satu surat pengakuan mengatakan bahawa dia tidur didalam rumah itu dengan kehendak hatinya sendiri. Selepas surat pengakuan itu ditandatangani, barulah saudagar itu menyerahkan kunci rumah tersebut bersama perkakas tidur dan sebuah lampu.
Ali tinggal seorang diri di dalam rumah itu. Ali berjalan dari sebuah bilik ke sebuah bilik. Hatinya sangat tertarik dengan susun atur di dalam rumah itu. Di tengah rumah ada satu kawasan lapang dan ada sebuah telaga yang tersangat sejuk dan jernih airnya. Ali berasa sangat panas lalu mandi ditelaga itu. Kemudian Ali mengambil wuduk dan menunaikan solat. Hari semakin gelap. Ali pun bangun memasang lampu lalu bersembahyang maghrib. Lepas sembahyang beliau pun makan.
Kemudian Ali bersiap untuk tidur. “Baik aku naik tidur di atas”, Ali berkata seorang diri. Dipikulnya perkakas tidur itu naik ke atas dan masuk ke dalam sebuah bilik, dibentangkannya di lantai bilik itu lalu berbaring. Namun belum sempat Ali meluruskan badannya tiba-tiba didengarnya satu suara berbunyi. Kata suara itu, “Ali anak Hasan, bolehkah aku bawakan emas itu kepada engkau sekarang?”
Ali sedikit pun tidak berasa takut mendengar suara itu malahan sedia menanti akan apa-apa yang akan berlaku kerana orang lain telah menceritakan kepadanya mengenai rumah tersebut. Ali tidak berasa cuak atau takut sedikit pun lalu menjawab, “Bawakanlah. Mana dia?” Mencurah turun emas ke atas lantai bilik itu seperti hujan turun dari langit. Seketika lamanya penuhlah lantai bilik itu ditimbuni emas beberapa inci tebalnya dan akhirnya barulah ia berhenti. Suara itu berbunyi sekali lagi, “Sekarang lepaskanlah aku pergi, tanggungjawab aku sudah aku sempurnakan. Aku sudah serahkan kepada engkau harta yang diperintahkan aku menjaganya. Berilah aku kebebasan semula.”
“Ceritakan kepada aku dari mana datangnya emas ini?” tanya Ali kepada suara itu. Suara itu menjawab, “Emas itu telah lama berada di dalam simpananku. Aku sudah bertanya kepada tiap-tiap orang yang datang tidur di dalam bilik ini seperti yang aku tanya kepada engkau tadi. Tetapi tiada seorang pun menjawab, oleh sebab itu mereka semua aku bunuh. Masing-masing menunjukkan takut belaka, hanya engkau sahaja yang menjawab. Engkau bertanya di mana emas itu, itulah tanda yang menunjukkan engkau pemilik emas itu. Banyak lagi harta ini tersembunyi. Kalau engkau suka aku boleh ambilkan semuanya. Apabila aku sudah tunaikan tanggungjawab aku sekarang, lepaskanlah aku pergi.”
“Bawakan semua harta itu ke mari dulu. Kalau tidak aku tidak lepaskan engkau,” jawab Ali. “Harta itu pun ada juga orang yang menjaganya. Kalau aku bawakan dia ke mari, mahukah engkau lepaskan dia bersama-sama aku?” tanya suara itu.
“Mahu,” jawab Ali. “Sebelum engkau pergi aku mahu engkau bawakan anak dan isteriku di Kaherah dan bawakan semuanya ke mari.” “Baiklah,” sahut suara itu. Sesudah itu keadaan menjadi sunyi semula. Ali pun tidur sampai siang.
Apabila sudah bangun dari tidur, Ali termenung memikirkan di mana hendak disimpannya emas yang bertimbun itu. Ali berjalan dan akhirnya terjumpa sebuah bilik kosong yang hanya ada sejumlah karung kosong. Di ambilnya karung itu dan diisikannya dengan emas dan disimpannya di dalam bilik itu.
Sebentar kemudian didengarnya bunyi riuh diluar. Ali membuka pintu hadapan dilihatnya orang gaji saudagar itu datang melawatnya. Bersorak orang gaji itu melihat Ali yang membuka pintu itu. Orang gaji itu bergegas balik dan memberitahu saudagar bahawa Ali selamat. Saudagar itu sangat gembira dan hendak pergi melihat sendiri lalu menyuruh orang gajinya menyediakan makanan. “Apa khabar?” tanya saudagar kepada Ali.
“Khabar baik. Mudah-mudahan tiada apa-apa yang mengganggu saya malam tadi”, jawab Ali.
“Alhamdulillah. Saya suka melihat tuan selamat,” jawab saudagar. Setelah berbicara sebentar, saudagar itu pun pulang ke rumahnya.
Tidak lama kemudian, hebohlah orang-orang di dalam Bandar Baghdad menceritakan hal saudagar Ali tidur di rumah puaka. Ramai orang datang berziarah dan berkenalan dengan saudagar Ali. Apabila ditanya oleh orang bila barang dagangannya akan sampai, Ali menjawab, “Jika tiada apa-apa halangan, mungkin tiga hari lagi sampailah ia ke mari. Apabila barang-barang itu sampai nanti, silalah tuan-tuan sekalian datang melihatnya.
Tiga hari selepas itu, jin yang menggugurkan emas itu pun datang kembali berjumpa Ali dan memberitahunya angkatan yang membawa harta itu sudah sampai dekat pintu kota. Ia mengajak Ali pergi menyambutnya kerana anak dan isterinya datang bersama. Dengan rasa yang amat gembira, Ali memberitahu saudagar kenalannya bahawa barang dagangan bersama anak dan isterinya sudah sampai di luar kota. Saudagar-saudagar itu semuanya bersetuju untuk menyambut kedatangan angkatan itu kerana masing-masing ingin tahu setakat mana kekayaan saudagar Ali.
Tidak lama mereka menanti diluar kota, mereka nampak dari jauh gelap rupa debu naik ke udara. Akhirnya muncullah satu kafilah yang besar mengandungi berpuluh-puluh ekor unta, kuda dan keldai. Masing-masing sarat membawa bebanan terikat dibelakangnya. Apabila sampai ketua kafilah berjumpa Ali dan memberi hormat lalu diperintahkan oleh Ali berjalan masuk ke dalam kota.
“Banyak sungguh harta saudagar Ali ini,” kata salah seorang daripada mereka. “dekat-dekat sama seperti Khalifah pula nampaknya pemandangannya. Sekalian saudagar itu hairan melihatkan harta saudagar Ali yang terlalu banyak. Mereka amat hairan apabila memandang pakaian anak dan isteri saudagar Ali itu semuanya daripada jenis barang yang mahal-mahal belaka.
“Nampaknya tak cukup tempat di sini. Suruhlah orang-orang itu separuh tinggal di rumah saya di sebelah. “Terima kasih banyak-banyak,” sahut Ali. Orang-orang ini tidak lama di sini kerana mereka akan bertolak ke tempat lain.
Apabila semua orang yang datang melawat pulang ke rumah masing-masing, Ali bertanya kepada isterinya, “Kanda ingin sangat nak mendengar cerita adinda sepeninggalan kanda dahulu. Cuba ceritakan semuanya. Dengan perasaan sedih dan hiba dengan air mata berlinang-linang isterinya bercerita sambil tersenyum, “Tak dapat adinda gambarkan bagaimana penderitaan adinda anak-beranak lepas kanda pergi dahulu. Tersangatlah seksa kerana adinda selalu tidak dapat makan. Kadang-kadang hampir kebuluran. Bermacam ikhtiar adinda usahakan dengan susah payah, dapat juga adinda memberi anak-anak kita sesuap pagi dan sesuap petang”.
“Kanda faham tetapi semua perkara sudah lepas. Kanda bersyukur kepada Tuhan kerana adinda sekalian telah selamat. Bagaimana adinda boleh ke mari? Cuba ceritakan pada kanda,” tanya Ali lagi.
“Malam tadi pada masa adinda sedang tidur dengan anak-anak, tiba-tiba adinda terjaga. Rasanya adinda diangkat orang dibawa terbang melayang di udara. Sebentar kemudian adinda dapati adinda telah diletakkan di padang pasir ditengah-tengah satu angkatan kafilah yang besar.
“Kamu ini siapa, hendak ke mana kamu bawa aku?” tanya adinda kepada ketuanya. “Kami semua bekerja dengan Ali, suami tuan hamba. Angkatan kafilah ini dialah yang punya. Kami diperintahkan membawa tuan hamba serta anak-anak tuan hamba ke Banghdad. Suami tuan hamba ada menanti di sana”.
“Di mana adinda dapat baju cantik yang adinda pakai ini?” tanya Ali lagi. “Ketua yang bercakap dengan adinda itu memberinya. Adinda tengok dia membuka sebuah peti mengeluarkan baju ini dan diberikan kepada adinda. Lepas itu dikuncinya peti itu semula. Anak kuncinya diberikan kepada adinda minta disampaikan kepada kanda. Isterinya pun menyerahkan anak kunci tersebut kepada suaminya. Ali pun membuka peti itu. Didapatinya peti itu penuh berisi dengan kain yang mahal-mahal yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Di dalam peti itu terjumpa anak kunci peti-peti lain. Kesemua peti lain itu berisi permata yang tidak ternilai harganya.
Setelah habis diperiksa, Ali mengajak isterinya naik ke bilik di tingkat atas, tempat dia mula-mula tidur dahulu. Dibukanya bilik stor tempat karung-karung emas itu disembunyikan lalu diceritakan isi karung-karung itu kepada isterinya. “Di mana kanda dapat emas sebanyak ini?” tanya isterinya dengan nada gembira. Ali tersenyum tidak menjawab. Kemudian dipimpin tangan isterinya dibawa ke tepi sebuah tingkap. Sambil memandang ke luar Ali menceritakan semua pengalamannya itu kepada isterinya.
Isterinya sangat gembira. “Kita mesti mengucapkan syukur kepada Tuhan. Hendaklah kita insaf akan diri kita. Segala derita dan azab sengsara yang kita rasai dulu patut menjadi pengajaran besar kepada kita. Adinda harap kanda tentulah tidak mahu berkawan seperti dulu lagi. Ali termenung lalu fikirannya melayang ke masa silam. Masa ia berharta dahulu ramai kawannya tetapi apabila hartanya habis, semua kawan-kawannya menarik diri.
Ali pun membeli rumah besar tersebut daripada saudagar itu. Nama saudagar Ali sangat harum sebagai seorang saudagar kaya yang sangat pemurah dan sangat bertimbangrasa dengan orang yang ada perhubungan dengannya.

Adaptasi daripada Cherita-cherita dari Tanah Arab, Caxton Press LTD.,Kuala Lumpur (1954).
Pengajaran
1. Jangan selalu ikut perasaan. Berfikir sebelum bertindak.
2. Terima pendapat orang lain.
3. Belajar dari kesilapan.
4. Usaha tangga kejayaan.
5. Mendidik kita supaya menghormati ibu bapa dan orang yang lebih tua.
6. Mengajar kita supaya jangan cepat putus asa apabila menghadapi dugaan.
7. Mengajar kita supaya bersabar apabila menghadapi rintangan.

Sabtu, 12 September 2009

OBJEKTIF

  • Untuk mempengaruhi pelbagai peringkat audien.
  • Menggunakan interaktif media yang tahan lama dan mudah diubahsuai.
  • Mengasah pengetahuan baru dan kemahiran menggunakan media komunikasi.
  • Menguji kebolehan menggunakan media secara efektif ketika membuat persembahan.